KUALA LUMPUR 24 Okt - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama antara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda, bersedia melaksanakan pembangunan dermaga baharu dinamakan Berth Zero sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan strategiknya.
Projek itu dianugerahkan kepada syarikat usaha sama MMC Engineering Sdn Bhd dan Antara Koh (M) Sdn Bhd (MMCE-AKSB JV), melibatkan kawasan belum dibangunkan di kompleks pelabuhan berkenaan.
Penganugerahan kontrak tersebut juga adalah susulan daripada proses tender yang telus dan kompetitif, di mana semua pembida yang berkelayakan dinilai berdasarkan kekuatan teknikal, prestasi keselamatan dan keupayaan perkhidmatan selaras dengan amalan terbaik industri.
Pembangunan merangkumi kerja-kerja penggalian, penambakan dan pembinaan dermaga sepanjang 360 meter, yang akan dilengkapi empat kren dermaga serta kawasan lapangan kontena dengan kren gantry bertayar getah elektrik (e-RTG) – sekali gus menambah kecekapan dan kapasiti pengendalian kontena PTP.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pelan pengembangan utama syarikat menumpukan kepada usaha mengoptimumkan kapasiti terminal kepada 16 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh dua setengah tahun akan datang.
“Permintaan dalam industri maritim kekal kukuh. Pembinaan Berth Zero mencerminkan kesinambungan pertumbuhan kapasiti kami.
"PTP akan terus mencari ruang pertumbuhan baharu selaras dengan falsafah berteraskan pelanggan, sambil bersedia merebut peluang daripada peningkatan perdagangan intra-ASEAN yang membentuk pasaran masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, pembangunan Berth Zero membawa makna simbolik sempena ulang tahun ke-25 penubuhan PTP.
“Projek ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan pembinaan Dermaga 13 dan 14 pada 2014, serta menjadi fasa terakhir dalam pelan pengembangan semasa kami.
"Dengan empat kren dermaga baharu yang dijangka mula beroperasi menjelang 2028, PTP berada di landasan untuk mencapai sasaran kapasiti keseluruhan sekitar 16 juta TEU," katanya.
Katanya, inisiatif itu menandakan tumpuan baharu terhadap pembangunan kapasiti mampan dan infrastruktur pelabuhan kalis masa, sekali gus mengukuhkan kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kargo terkemuka di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MMC Engineering, Mohamad Asroll Mansor berkata, MMCE berbangga menjadi sebahagian daripada projek strategik itu.
“Projek Berth Zero mengesahkan semula komitmen kami terhadap kecemerlangan kejuruteraan, inovasi dan standard keselamatan tertinggi, sejajar dengan matlamat Kumpulan MMC memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara maritim utama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Antara Koh (M) Sdn Bhd, Datuk Ir. Tay Yew Chong menegaskan, kerjasama 23 tahun antara AKSB dan MMCE akan diteruskan dengan komitmen terhadap budaya keselamatan sifar kecederaan masa hilang (LTI-zero), yang menjadi simbol kejayaan bersama.- DagangNews.com








