Pandangan saya dalam artikel minggu ini mungkin tidak begitu selesa dibaca. Namun saya harap pembaca akan terus membaca hingga akhir supaya dapat memahami perspektif yang cuba saya sampaikan.
Setiap kali statistik harta pusaka beku RM90 bilion dibincangkan, masyarakat akan kembali membicarakan persoalan yang sama:
Mengapa masih banyak harta pusaka tidak dituntut?
Mengapa waris masih bertelagah?
Mengapa proses pentadbiran pusaka masih mengambil masa yang panjang?
Mengapa masyarakat tidak mahu memahami hukum-hakam berkaitan harta pusaka?
Mengapa undang-undang pusaka semakin rumit?
Ada yang beranggapan jika kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan, jika undang-undang diperbaiki atau jika proses pentadbiran dipermudahkan, maka masalah harta pusaka akan lenyap daripada kehidupan masyarakat.
Namun selepas hampir tiga dekad terlibat secara langsung dalam industri perancangan dan pentadbiran harta pusaka, saya semakin yakin bahawa isu harta pusaka orang Islam di Malaysia tidak akan mampu diselesaikan secara tuntas.
Kenyataan ini bukanlah satu bentuk pesimisme. Sebaliknya ia adalah pengiktirafan terhadap hakikat bahawa masyarakat sentiasa berubah, struktur keluarga sentiasa berkembang, bentuk kekayaan sentiasa berevolusi dan manusia itu sendiri sentiasa mencipta cabaran baharu dalam menguruskan hubungan kekeluargaan.
Struktur keluarga moden vs keluarga tradisional
Masyarakat Melayu sekitar lima atau enam dekad yang lalu, struktur keluarga secara umumnya lebih mudah.
Kebanyakan keluarga terdiri daripada seorang bapa, seorang ibu dan anak-anak kandung mereka. Kalaupun berlaku poligami, strukturnya masih jelas. Seorang lelaki mungkin mempunyai sehingga empat orang isteri dan anak-anak daripada setiap perkahwinan tersebut diketahui serta dikenali oleh semua ahli keluarga.
Hubungan kekeluargaan pada ketika itu juga lebih rapat. Ramai ahli keluarga tinggal dalam kampung yang sama atau sekurang-kurangnya dalam daerah yang sama. Mereka mengenali antara satu sama lain sejak kecil dan mengetahui sejarah keluarga masing-masing.
Apabila berlaku kematian, semua waris biasanya mudah dikenal pasti dan proses pembahagian harta menjadi lebih teratur.
Namun landskap masyarakat hari ini sudah jauh berubah.
Perceraian semakin menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan moden. Ramai pasangan yang bercerai kemudiannya berkahwin semula dan membina keluarga baharu.
Seorang lelaki mungkin mempunyai anak daripada beberapa perkahwinan yang berbeza. Begitu juga seorang wanita. Ada anak yang tinggal bersama ibu kandung, ada yang dibesarkan oleh bapa, ada yang tinggal bersama ibu atau bapa tiri dan ada yang membesar dalam keluarga yang tidak pernah tinggal serumah dengan adik-beradik kandung mereka sendiri.
Akibatnya, apabila berlaku kematian, urusan pusaka tidak lagi melibatkan sekumpulan adik-beradik yang membesar bersama di bawah satu bumbung.
Sebaliknya ia mungkin melibatkan adik-beradik tiri daripada ibu yang berlainan, adik-beradik tiri daripada bapa yang berlainan, bekas pasangan, pasangan semasa serta ahli keluarga yang mempunyai tahap hubungan emosi yang sangat berbeza antara satu sama lain.
Keadaan ini menjadikan isu pusaka hari ini bukan lagi sekadar persoalan pembahagian harta. Ia telah menjadi cabaran pengurusan hubungan manusia yang semakin kompleks.
Mobiliti masyarakat
Selain perubahan struktur keluarga, mobiliti masyarakat moden juga menjadikan urusan pusaka semakin mencabar.
Jika dahulu kebanyakan ahli keluarga tinggal berhampiran antara satu sama lain, hari ini seorang bapa mungkin tinggal di Kuala Lumpur, seorang anak di Johor Bahru, seorang lagi di Sabah manakala yang lain menetap di Australia atau United Kingdom.
Apabila berlaku kematian, proses mendapatkan dokumen, tandatangan, persetujuan dan kerjasama semua waris menjadi lebih rumit berbanding dahulu.
Teknologi mungkin memudahkan komunikasi, tetapi ia tidak semestinya memudahkan proses mencapai kata sepakat.
Portfolio harta yang semakin kompleks
Pada masa yang sama, bentuk harta yang dimiliki oleh masyarakat juga semakin kompleks.
Jika dahulu seseorang meninggal dunia dengan meninggalkan sebuah rumah, sebidang tanah dan sedikit simpanan bank, hari ini bentuk kekayaan manusia jauh lebih pelbagai.
Selain rumah dan tanah, seseorang mungkin mempunyai saham syarikat tersenarai, saham syarikat persendirian, unit amanah, dana pelaburan, akaun perdagangan digital, e-dompet, mata wang kripto, hak cipta, royalti buku, pendapatan media sosial dan pelbagai aset digital yang tidak pernah wujud pada generasi terdahulu.
Malah dalam sesetengah keadaan, sebahagian besar kekayaan seseorang mungkin tersimpan dalam bentuk digital yang hanya boleh diakses melalui kata laluan tertentu.
Bayangkan seorang individu yang mempunyai beberapa akaun pelaburan dalam talian, dompet kripto dan perniagaan digital tetapi tidak pernah memaklumkan kewujudannya kepada ahli keluarga.
Apabila beliau meninggal dunia, waris bukan sahaja menghadapi kesukaran membahagikan harta tersebut, malah mungkin tidak mengetahui bahawa harta itu wujud.
Semakin moden masyarakat, semakin kompleks bentuk kekayaan yang perlu diwariskan.
Peningkatan nilai harta
Satu lagi faktor yang menjadikan isu pusaka sentiasa relevan ialah peningkatan nilai harta.
Sebuah rumah yang dibeli pada harga RM80,000 di Damansara Utama 30 tahun dahulu hari ini sudah bernilai lebih RM2 juta. Sebidang tanah kampung yang suatu ketika dahulu dianggap tidak bernilai mungkin kini menjadi rebutan kerana pembangunan yang berlaku di kawasan tersebut.
Apabila nilai ekonomi sesuatu harta meningkat dengan ketara, kecenderungan untuk berlaku pertikaian juga meningkat. Hakikat ini bukan semata-mata soal tamak. Ia lebih berpunca daripada keperluan hidup, tekanan kewangan dan perbezaan pandangan mengenai cara terbaik untuk memanfaatkan harta tersebut.
Ada waris yang mahu menjual harta untuk mendapatkan tunai. Ada yang mahu menyimpannya sebagai pelaburan jangka panjang. Ada pula yang mahu mengekalkannya sebagai kenangan keluarga.
Perbezaan pandangan seperti inilah yang sering memanjangkan proses penyelesaian pusaka.
Undang-undang pusaka yang semakin rumit
Ramai juga beranggapan undang-undang pusaka semakin rumit kerana kelemahan sistem. Hakikatnya, sebahagian daripada kerumitan itu berlaku kerana masyarakat sendiri semakin kompleks.
Undang-undang perlu sentiasa berkembang untuk menangani pelbagai situasi baharu yang tidak pernah wujud sebelum ini. Isu pemilikan bersama, aset digital, syarikat keluarga, instrumen kewangan moden dan pelaburan rentas sempadan memerlukan peraturan yang lebih terperinci bagi melindungi hak semua pihak.
Semakin banyak bentuk kekayaan yang diwujudkan oleh manusia, semakin banyak peraturan yang diperlukan untuk menguruskan pemindahan kekayaan tersebut apabila berlaku kematian.
Perubahan sikap generasi
Generasi terdahulu dibesarkan dalam budaya yang sangat menghormati autoriti keluarga. Apabila berlaku kematian, keputusan sering dibuat secara kolektif dan diterima oleh kebanyakan ahli keluarga.
Hari ini generasi muda lebih berpendidikan, lebih kritikal dan lebih berani mempertahankan hak masing-masing.
Perubahan ini mempunyai banyak kelebihan kerana masyarakat menjadi lebih celik undang-undang dan lebih memahami hak mereka.
Namun dalam konteks pusaka, ia juga membawa cabaran baharu. Waris hari ini lebih cenderung mempersoalkan keputusan, meminta penjelasan yang terperinci dan mempertahankan hak mereka berdasarkan tafsiran masing-masing.
Apabila setiap pihak mempunyai persepsi yang berbeza tentang apa yang dianggap adil, proses mencapai persetujuan menjadi lebih sukar.
Kematian ialah satu hakikat
Akhir sekali, kita perlu menerima satu hakikat yang paling asas.
Punca kepada semua isu pusaka ialah kematian itu sendiri. Selagi manusia hidup, manusia akan mati. Selagi manusia mati, harta akan diwariskan.
Selagi harta diwariskan, akan sentiasa wujud cabaran dalam proses pemindahan hak milik daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Oleh itu, adalah tidak realistik untuk mengharapkan isu harta pusaka akan hilang sepenuhnya daripada masyarakat. Apa yang boleh dilakukan ialah mengurangkan risiko.
Pemain industri membantu menyelesaikan kerumitan
Matlamat sebenar pemain industri perancangan harta seperti Wasiyyah bukanlah untuk menghapuskan masalah pusaka.
Matlamatnya ialah mengurangkan kerumitan, mempercepatkan proses pentadbiran dan meminimumkan konflik dalam kalangan waris.
Setiap wasiat yang ditulis, setiap hibah yang disempurnakan, setiap amanah yang diwujudkan dan setiap dokumen yang disusun dengan baik sebenarnya bukan untuk menghapuskan masalah pusaka secara total. Ia hanyalah usaha untuk mengurangkan beban yang bakal ditanggung oleh generasi seterusnya.
Melalui perancangan harta yang tepat, kita sekurang-kurangnya mampu memastikan bahawa apabila tiba giliran kita meninggalkan dunia ini, kita tidak meninggalkan kekusutan yang tidak perlu kepada mereka yang kita sayangi. Datanglah kepada kami, Wasiyyah boleh membantu. - DagangNews.com









