KUALA LUMPUR 3 Okt – Pekat Group Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) menerusi kontrak terkini bernilai RM85.68 juta di Johor, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kejayaan terbaharu itu diraih oleh anak syarikat tidak langsung, Pekat Solar Sdn Bhd bagi projek loji jana kuasa solar berskala besar (LSS) berkapasiti 63 MWac di Kulai.
Ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.03 daripada RM1.86, berdasarkan unjuran perolehan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 7.5 sen, sejajar purata tiga tahun sejarah dagangannya.
“Pelaksanaan dasar tenaga solar yang agresif seperti LSS5, LSS5+ dan LSS6, menjadikan prospek Pekat pada ketika ini dinilai semakin terus positif,” kata MBSB Research dalam notanya hari ini.
Kontrak itu melibatkan kerja penuh kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) serta dijangka siap selewat-lewatnya 31 Mei 2026, sebaik sahaja Notis Mula Kerja dikeluarkan kontraktor utama.
Selain itu tambah firma berkenaan, kontrak baharu kali ini berjaya melonjakkan jumlah buku tempahan terkumpul direkodkan Pekat kepada RM751 juta, iaitu angka yang paling tinggi setakat ini.
Artikel berkaitan: Pekat Group raih kontrak EPC bernilai RM85.7 juta bagi projek solar 63 MW di Johor
Ini membabitkan EPE Switchgear sebanyak RM298 juta, diikuti solar fotovoltaik (PV) pula RM274 juta, ELP (Earthing & Lightning Protection) dengan RM169 juta dan selebihnya segmen perdagangan.
"Kami difahamkan EPE Switchgear dijangka menjadi penyumbang utama baharu, selepas memperoleh kontrak berjumlah RM260 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) setakat ini," katanya.
Berikutan kejayaan kontrak baharu ini, MBSB Research menyemak naik unjuran pendapatan FY25 dan FY26 masing-masing meningkat sebanyak 1.0% kepada RM42.1 juta dan 5.7% kepada RM48.5 juta.
Pekat kini tambahnya, dalam proses melaksanakan penempatan saham secara persendirian sehingga 10%, bagi membiayai perbelanjaan modal untuk projek-projek solar semasa dan yang akan datang.
Dalam senario berisiko, EPS FY25 dan FY26 dijangka terjejas masing-masing 10.8% dan 10.7%, menjadikan TP berpotensi disemak semula kepada RM1.81 jika dilusi pemilikan berlaku sepenuhnya.
“Walaupun terdapat potensi dilusi akibat penempatan persendirian, asas pertumbuhan jangka panjang Pekat kekal utuh dengan permintaan kukuh dalam sektor RE,” jelas MBSB Research. - DagangNews.com








