KUALA LUMPUR 2 Okt – Pekat Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsung Pekat Solar Sdn Bhd menandatangani kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bernilai RM85.68 juta untuk membangunkan sebuah loji jana kuasa solar berskala besar berkapasiti 63 megawatt AC (MWac) di Kulai, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut dimeterai hari ini dengan sebuah syarikat yang bertindak sebagai kontraktor utama bagi projek berkenaan.
Skop kerja merangkumi keseluruhan proses pembangunan loji solar tersebut – daripada reka bentuk, bekalan, pembinaan, pemasangan, sehinggalah kepada ujian dan pentauliahan.
Menurut kenyataan itu tempoh pelaksanaan kontrak akan bermula sebaik sahaja Notis Untuk Mula Kerja dikeluarkan oleh kontraktor utama, dan projek dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 Mei 2026, iaitu tarikh rasmi penyerahan loji tersebut.
Pengurusan Pekat menyatakan kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 sehingga tempoh tamat kontrak.
Bagaimanapun kontrak ini tiada sebarang kesan terhadap struktur modal terbitan atau pegangan saham oleh pemegang saham utama syarikat.
Projek ini sejajar dengan strategi jangka panjang Pekat untuk memperkukuh kehadiran dalam segmen tenaga boleh baharu (RE), khususnya dalam pembangunan loji jana kuasa solar berskala besar yang semakin mendapat perhatian di peringkat nasional dan serantau. - DagangNews.com








