Propel Global raih kontrak RM70 juta bagi kerja-kerja sivil pusat data di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Propel Global raih kontrak RM70 juta bagi kerja-kerja sivil pusat data di Johor Bahru

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Propel Global Berhad menerusi Propel CMT Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM70 juta daripada sebuah syarikat multinasional Singapura bagi pembangunan sebuah pusat data di Johor Bahru.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu melibatkan kerja-kerja pembinaan sivil serta struktur dan ia dijadualkan siap pada separuh pertama 2026.

 

"Kontrak itu termasuk peruntukan untuk fasa berikutnya yang berpotensi bagi kerja pilihan, dijangka disahkan pada penghujung 2025. 

 

"Jika diberikan, kerja tambahan ini akan meningkatkan jumlah anggaran nilai keseluruhan projek kepada kira-kira RM325 juta," katanya dalam satu kenyataan.

 

propel
Angeline Lee

 

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global, Angeline Lee berkata, projek itu menandakan peralihan strategik ke arah infrastruktur digital berniali tinggi, disokong kepakaran EPCC kumpulan. 

 

Beliau berkata, menerusi kontrak itu, kumpulan itu memperoleh keupayaan pelaksanaan pusat data tambahan, mendapat manfaat daripada pemindahan pengetahuan teknikal dan mengukuhkan set kemahirannya.

 

"Industri pusat data global berkembang pesat, didorong peningkatan permintaan untuk kemudahan hijau dan cekap tenaga. 

 

"Kemasukan Propel Global ke dalam ruang pusat data sejajar sepenuhnya dengan cita-cita tenaga boleh diperbaharui, meletakkan Kumpulan di persimpangan dua arah aliran utama, ekonomi digital dan peralihan tenaga, masa depan yang sedang kami kejar secara aktif," katanya.- DagangNews.com