Projek pusat data Gamuda diyakini berkembang, diramal memperoleh kontrak kerja bernilai RM20 bilion - TA Securities  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pusat data Gamuda diyakini berkembang, diramal memperoleh kontrak kerja bernilai RM20 bilion - TA Securities 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Pertumbuhan projek pusat data Gamuda Bhd diramal kekal kukuh, penambahan kontrak kerja kumpulan dianggar mencecah sebanyak RM20 bilion, kata TA Securities. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku pesanan Gamuda disokong lagi dengan kemenangan baru-baru ini bagi segmen pertama projek Transit Aliran Ringan Pulau Pinang, dengan syarikat itu merupakan tender untuk segmen ketiga bernilai RM3 bilion hingga RM4 bilion.

 

Katanya, perkongsian Gamuda dengan pusat data skala besar berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), yang hanya dikenal pasti sebagai "X", meletakkan syarikat itu dalam kedudukan kukuh mendapatkan projek pusat data tambahan melalui rundingan langsung. 

 

Pusat data skala besar menyediakan pengkomputeran awan dan perkhidmatan pengurusan data kepada organisasi yang memerlukan infrastruktur yang luas untuk pemprosesan dan penyimpanan data berskala besar.

 

Syarikat penyelidikan itu berkata, pusat data skala besar X menyasarkan kapasiti pusat data global antara 18 gigawatt (GW) dan 22GW menjelang 2027.

 

"Malaysia kekal sebagai destinasi yang sangat menarik untuk pusat data kerana kos elektrik serta air yang agak rendah," katanya.

 

Menggunakan projek pusat data skala besar X di Elmina Business Park, Selangor, dengan kapasiti 80MW sebagai penanda aras, TA Securities menganggarkan jumlah nilai projek pusat data baharu adalah sekitar AS$2bil setiap 100MW, dengan kos pembinaan biasanya menyumbang 15 % hingga 20% daripada jumlah nilai.

 

“Dengan mengandaikan pusat data skala besar X meneruskan rancangan awalnya mengembangkan kehadiran pusat datanya di Malaysia, ini akan diterjemahkan kepada potensi pelancaran sekurang-kurangnya 1.1GW projek pusat data baharu.

 

“Perkembangan ini mewakili pelaburan kolektif kira-kira AS$22.4 bilion atau kira-kira RM100.9 bilion, dengan kos pembinaan kasar kira-kira RM18 bilion,” katanya.

 

TA Securities juga berkata, pengambilan tanah seluas 157.42 hekar Gamuda di Port Dickson, Negeri Sembilan, boleh menampung sehingga 10 pusat data baharu, berdasarkan andaian 16.91 hektar diperlukan untuk setiap 100MW yang dibangunkan.

 

"Kepakaran teknikal dan kapasiti operasi Gamuda membolehkannya menguruskan lapan hingga 10 projek pusat data secara serentak," kata firma penyelidikan itu.

 

"Walaupun pusat data skala besar yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) diberi mandat untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah kuasa pengkomputeran kecerdasan uatan (AI) mereka di AS , kami percaya ini tidak akan menghalang usaha mereka menubuhkan pusat data di negara peringkat dua," katanya. 

 

Syarikat penyelidikan itu juga berkata, sekatan pada masa ini termasuk beberapa unit pemprosesan grafik (GPU)  kelas bawah yang digunakan untuk tugas pengkomputeran standard, seperti storan awan, pengehosan web dan aplikasi perusahaan.

 

“Sebagai tindak balas, pelanggan utama Gamuda dan pusat data skala besar X, sedang giat membangunkan cip AI sendiri, yang dijangka memasuki pengeluaran besar-besaran menjelang 2026.

 

"Cip dalaman ini akan membolehkan pusat data skala besar X mengurangkan pergantungannya kepada pembuat cip utama, sambil memenuhi keperluan storan awan berskala besarnya tanpa melanggar had 7%," katanya.

 

Sementara itu, TA Securities mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM6.30 sesaham.  - DagangNews.com