KUALA LUMPUR 12 Nov – Powerwell Holdings Berhad dijangka menikmati margin keuntungan kasar sekitar 28% hasil daripada kontrak baharu yang bernilai RM9.5 juta bagi sebuah projek pusat data di Selangor.
Menurut Malacca Securities, kontrak tersebut yang diterima oleh anak syarikatnya, Kejuruteraan Powerwell Sdn Bhd, dijangka memberi sumbangan utama kepada prestasi kewangan tahun kewangan 2026.
Ia merangkumi pembekalan papan suis voltan rendah dan komponen elektrik berkaitan, dianugerahkan oleh sebuah syarikat pembinaan serta kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) antarabangsa.
"Bagaimanapun keseluruhan nilai projek berkenaan dijangka hanya diiktiraf sepenuhnya menjelang tempoh suku pertama FY26 (1QFY26)," kata firma penyelidikan tersebut dalam satu notanya hari ini.
Malacca Securities menambah, kitaran singkat pelaksanaan projek membolehkan Powerwell mengiktiraf hasil lebih pantas, dengan kontrak ini diunjur menyumbang kira-kira RM2.7 juta keuntungan kasar.
Artikel berkaitan: Powerwell peroleh kontrak RM9.5 juta untuk projek pusat data di Selangor
Firma berkenaan turut menilai risiko pelaksanaan sepanjang tempoh kerja sebagai terkawal, disokong oleh kedudukan tunai bersih dan imbangan kira-kira yang sihat sebelum memberi hasil pada FY26.
Setakat ini, buku tempahan belum selesai Powerwell dianggarkan sudah mencecah sekitar RM117 juta, bersamaan kira-kira 1.0 kali hasil FY25, tidak termasuk projek terbaharu yang diumumkan semalam.
"Justeru, unjuran pendapatan sedia ada dikekalkan, memandangkan kontrak itu berada dalam jangkaan asas dengan kami tidak mengubah saranan 'beli' dan harga sasaran 64 sen," kata Malacca Securities.
Perkembangan tersebut jelas firma itu, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kira-kira 17 kali yang disandarkan kepada unjuran pendapatan sesaham (EPS) pada FY27 sebanyak 3.78 sen.
Kontrak terkini itu tambahnya, bukan sahaja menambah buku tempahan, malah mengukuh kedudukan Powerwell dalam segmen pusat data yang pantas selaras perkembangan infrastruktur digital negara. - DagangNews.com








