Powerwell peroleh kontrak RM9.5 juta untuk projek pusat data di Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Powerwell peroleh kontrak RM9.5 juta untuk projek pusat data di Selangor

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 NovPowerwell Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Kejuruteraan Powerwell Sdn Bhd, memperoleh kontrak RM9.5 juta untuk membekalkan papan suis dan komponen bagi projek pusat data di Selangor.

 

Pengarah Urusan Powerwell Holdings Berhad, Catherine Wong Yoke Yen berkata, pemberian kontrak terbaharu itu menekankan peranan berterusan Powerwell dalam menyokong permintaan yang meningkat terhadap solusi kuasa yang stabil di projek pusat data dalam negara.

 


“Penganugerahan terbaharu ini mencerminkan kemampuan teknikal kami dan menegaskan kedudukan Powerwell dalam pembangunan pusat data. Kami berbesar hati kerana berjaya memperoleh projek pusat data ketiga dalam tahun kewangan ini, yang membuktikan kepakaran kami dalam segmen ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Menurutnya, industri pusat data di Malaysia berkembang pesat, dipacu oleh kos tenaga yang kompetitif dan kecenderungan pelaburan asing yang kukuh.

 


“Dengan jangkaan kapasiti beberapa gigawatt dalam lima tahun akan datang, Powerwell bersedia memanfaatkan peluang yang bakal muncul menerusi pengalaman dan keupayaan teknikal kumpulan. Barisan tender kami kekal kukuh dan pasukan kami terus meneroka peluang bukan sahaja dalam pusat data, tetapi juga sektor infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

 


Setakat akhir Jun 2025, buku pesanan Powerwell mencecah sekitar RM217 juta, tidak termasuk kontrak yang diumumkan hari ini. - DagangNews.com