Projek perumahan mampu milik, komersial bernilai RM78 juta dilancar di Dungun, Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek perumahan mampu milik, komersial bernilai RM78 juta dilancar di Dungun, Terengganu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 21 Okt – Kerajaan negeri Terengganu bekerjasama dengan sebuah syarikat pemaju hartanah untuk membangunkan Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan Bercampur dekat Bukit Tebuk di Dungun bernilai RM78 juta.

 

Projek tersebut dibangunkan di atas tanah seluas 14.9 hektar yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030.

 

Ia merangkumi pembinaan 444 unit kediaman dan komersial termasuk 120 unit rumah pangsa mampu milik (RPMM) Jenis A, 112 unit RMM Jenis B, 140 unit rumah teres setingkat Jenis C, 38 unit rumah ‘link’ banglo 1.5 tingkat Jenis D, 18 unit rumah berkembar setingkat Jenis E dan 16 unit kedai satu tingkat.

 

Harga jualan ditetapkan pada RM90,000 bagi jenis A dan bermula RM185,000 bagi jenis B, manakala harga unit komersial akan diuruskan oleh pihak pemaju. 

 

 

 

 

 

 

Tawaran pembelian dibuat mengikut kategori pendapatan isi rumah bagi memastikan golongan sasar benar-benar menerima manfaat.

 

RPMM Jenis A ditawarkan kepada mereka berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan manakala RMM Jenis B untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM8,000.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  projek tersebut adalah satu lagi inisiatif yang dilaksanakan untuk menyediakan perumahan selesa kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

 

 

 

 

 

Tambahnya, projek tersebut bukan sekadar menyediakan rumah mampu milik, malah menjadi pemangkin pertumbuhan kawasan Dungun secara menyeluruh.

 

“Beberapa lagi projek perumahan rakyat di seluruh Terengganu akan dibuat secara berperingkat sebagai sebahagian usaha memperluas pemilikan rumah di negeri ini,” katanya. - DagangNews.com