Projek naik taraf Terminal Larkin Sentral Fasa 1 bernilai RM2.5 juta siap sepenuhnya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek naik taraf Terminal Larkin Sentral Fasa 1 bernilai RM2.5 juta siap sepenuhnya

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Okt – Fasa pertama projek naik taraf Terminal Larkin Sentral bernilai RM2.5 juta telah disiapkan sepenuhnya yang akan memberi kemudahan selesa untuk pengguna pengangkutan awam terutama di Johor Bahru.

 

Projek itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf kawasan menurunkan penumpang berbumbung, laluan pejalan kaki, pagar keselamatan baharu, laluan bas serta kemudahan tandas lelaki yang kini lebih selesa dan mesra pengguna.

 

Selain itu, kiosk digital turut disediakan bagi memudahkan urusan pembelian tiket dan penukaran boarding pass, sekali gus mempercepatkan proses perjalanan penumpang.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, fasa kedua kini sedang giat dilaksanakan melibatkan naik taraf tandas perempuan, pembinaan ‘bus lounge’ berhawa dingin serta menaik taraf balai berlepas Singapura dengan sistem paparan digital perjalanan bas.

 

“Apabila keseluruhan projek siap menjelang hujung tahun ini, Terminal Larkin Sentral akan tampil dengan wajah baharu yang lebih moden, bersih dan selesa untuk ribuan pengguna harian.

 

“Selain fungsi utamanya sebagai hab pengangkutan, terminal ini turut dirancang menjadi medan selera rintis dalam usaha Kerajaan Negeri memperkukuh ekonomi rakyat serta memperkasa peniaga tempatan,” katanya selepas melawat Terminal Larkin baru-baru ini.

 

Inisiatif itu dijangka menjadikan kawasan Larkin bukan sekadar pusat transit, tetapi juga tumpuan baharu aktiviti ekonomi rakyat yang inklusif dan mampan.

 

Beliau berkata, kerajaan Johor komited untuk memperkasa sistem pengangkutan awam yang selamat dan efisien agar rakyat menikmati kemudahan yang moden, mesra pengguna serta sejajar dengan aspirasi negeri maju.

 

Terminal Bas Larkin memainkan peranan penting sebagai hab pengangkutan utama di Johor Bahru, menghubungkan perjalanan antara bandar, antara negeri dan antarabangsa. 

 

Lokasinya yang berdekatan dengan stesen KTM dan bakal dihubungkan dengan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) ke Singapura menjadikan ia pusat pengangkutan bersepadu yang menyokong konsep bandar pintar. - DagangNews.com