PNB lancar Pembiayaan Islamik Berkaitan Kelestarian pertama bersama OCBC Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PNB lancar Pembiayaan Islamik Berkaitan Kelestarian pertama bersama OCBC Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Okt - Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan kemudahan Pembiayaan Islamik Berkaitan Kelestarian (SLF) pertama, dengan OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Malaysia) bertindak sebagai penasihat struktur kelestarian tunggal.

 

Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan PNB, Hanizan Hood berkata, pelancaran SLF itu merupakan satu pencapaian penting yang mengukuhkan komitmen syarikat terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selain menandakan langkah besar ke hadapan dalam perjalanan kelestarian kumpulan.

 

“Sebagai syarikat pengurusan dana berkaitan kerajaan, inisiatif ini mencerminkan tekad kami bukan sahaja untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian dalam keputusan pelaburan, tetapi juga memastikan ia menjadi pemacu kepada pertumbuhan, ketahanan dan penciptaan nilai jangka panjang.

 

"Kerjasama dengan OCBC Malaysia mencerminkan nilai bersama serta komitmen teguh terhadap pemeliharaan alam sekitar, di samping menyumbang secara bermakna kepada matlamat kelestarian global,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan, Jurubank Kanan dan Ketua Perbankan Pelaburan OCBC Malaysia, Tan Ai Chin berkata, transaksi itu  menampilkan struktur “dwi-hijau” (double-green) yang menggabungkan kewangan Islam dan pembiayaan lestari secara menyeluruh.

 

“Ia membuktikan komitmen berterusan kami dalam menyediakan rumusan pembiayaan berimpak dan inovatif, mendorong kemajuan ESG jangka panjang serta memperkukuh pertumbuhan kewangan Islam,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, kemudahan SLF itu mengandungi parameter pembiayaan kelestarian utama, yang akan memberi insentif kewangan kepada PNB untuk terus memperkukuh usaha dalam melaksanakan komitmen ESG.- DagangNews.com