KUALA LUMPUR 3 Feb - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bakal menyahtauliahkan saluran paip gas Sabah-Sarawak (SSGP) sebagai sebahagian daripada rancangan penyahaktifan asetnya dari tahun 2025 hingga 2027.
Menurut laporan tinjauan aktiviti syarikat minyak negara tersebut, sepanjang tempoh tiga tahun itu, rancangan berkenaan termasuk pelupusan kira-kira 153 telaga dan kira-kira 37 kemudahan luar pesisir dan satu kemudahan darat.
Saluran paip gas asli sepanjang 500km, yang menghubungkan Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis, Sabah, ke kompleks gas asli cecair (LNG) Petronas di Bintulu, Sarawak, telah dibina pada 2011 lalu dan kemudian siap pada 2014.
Projek dengan kos melebihi RM4.6 bilion itu namun dibelenggu oleh risiko bencana alam dan isu pergerakan tanah, yang membawa kepada beberapa insiden termasuk kejadian kemalangan industri yang membawa maut.
Petronas sebelum ini telah melaporkan berlaku kemerosotan bekalan pada saluran paip akibat pelbagai peristiwa berkenaan dan mengesahkan bahawa ia pernah mengkaji semula prospes projek itu pada Ogos 2023 lalu.
Laporan Tinjauan Aktiviti Petronas edisi terkini pula menyatakan bahawa aktiviti penyahtauliahan aset matang dalam operasi huluan adalah penting demi memulihkan kawasan itu kepada situasi selamat dan stabil alam sekitar.
"Selain itu, aktiviti penyahtauliahan ini termasuk kerja menilai kembali segala aset syarikat yang tidak dapat diusahakan namun berpotensi untuk peluang guna semula," tambah Petronas.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia merancang untuk meninggalkan telaga serta menutup kemudahan sambil meneroka penyelesaian inovatif untuk memaksimumkan nilai daripada aset yang dilucutkan tauliah.
Di samping penyahaktifan saluran itu, Petronas juga sedang berusaha memajukan projek huluan utama seperti medan Kasawari, Pembangunan Semula Gumusut-Kakap dan lapangan Jerun.
Langkah berkenaan dilihat lebih berpotensi untuk mengekalkan pengeluaran dan mengukuhkan keselamatan bekalan tenaga syarikat berkenaan dalam jangka masa panjang. - DagangNews.com








