PETRONAS Chemicals rugi RM2.1 bilion bagi FY25 akibat kemerosotan nilai aset | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Chemicals rugi RM2.1 bilion bagi FY25 akibat kemerosotan nilai aset

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 FebPETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan kerugian bersih RM2.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding keuntungan tahun sebelumnya.


Perkembangan tersebut susulan kemerosotan nilai aset serta kerugian pertukaran asing (forex) yang belum direalisasi, selain kekurangan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).


Kumpulan itu memaklumkan, EBITDA merosot 46% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.9 bilion berikutan harga produk yang lebih rendah, margin yang semakin mengecil serta lambakan bekalan berterusan.

 

 

 

 


"Ini khususnya dalam segmen olefin dan derivatif (O&D) serta bahan kimia khusus, selain prestasi turut terjejas akibat kemerosotan nilai aset di Perstorp," kata PCG dalam maklumannya hari ini.


Di samping itu hasil kewangan rendah susulan pelarasan masa pembayaran perdagangan belum bayar dan kerugian forex daripada penilaian semula pinjaman kepada Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd.


Bagi FY2025 jelasnya, PCG mencatatkan pendapatan sebanyak RM27.5 bilion, disokong jumlah jualan stabil merentas portfolio komoditi dan bahan kimia khusus, dengan kadar penggunaan loji pada 88%.


Bagaimanapun bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 pula, kumpulan itu mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM730 juta berbanding kerugian RM291 juta pada suku sebelumnya.


"Pendapatan bagi 4QFY25 susut 3% kepada RM6.6 bilion, manakala EBITDA jatuh 77% kepada RM115 juta, dipengaruhi kerugian forex lebih tinggi serta kos pembaikan dan penyelenggaraan naik," jelasnya.


Walaupun berdepan tekanan kata PCG, kadar purata penggunaan loji meningkat kepada 96% sepanjang suku tersebut, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran dan jumlah jualan kimia komoditi.


Dari segi portfolio, segmen baja dan metanol (F&M) menunjukkan prestasi kukuh disokong permintaan urea stabil di India, Australia dan rantau Amerika Latin, serta aktiviti jualan menerusi perolehan strategik.


Segmen O&D dan bahan kimia khusus namun tertekan akibat lebihan kapasiti di Asia Timur dan Timur Tengah, permintaan hiliran yang perlahan serta ketidaktentuan geoekonomi dan tarif perdagangan.


"Sepanjang tahun, PCG berdepan halangan operasi termasuk gangguan utiliti tidak dijadualkan di Kompleks Petrokimia Bersepadu Kerteh dan isu stok suapan yang melibatkan PC Fertiliser Kedah," katanya.


Walaupun mencatatkan kerugian bersih, ia mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 4 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan pada FY25 ialah RM560 juta, yang akan dibayar pada 18 Mac 2026.


Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, kumpulan kekal komited memperkukuh asas perniagaan melalui disiplin kos, serta kebolehpercayaan operasi.


Selain itu tambah beliau, pihak pengurusan melaksanakan usaha pengoptimuman komersial yang sudah berjaya menjana kira-kira RM574 juta nilai penjimatan dan penciptaan nilai sepanjang tahun.


"Bagi 2026, PCG menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar dengan tekanan berterusan dalam pasaran O&D susulan kapasiti baharu di pasaran China dan permintaan yang perlahan," jelasnya.

 

 

 

 

 


Bagaimanapun, permintaan agrikultur yang kukuh dijangka menyokong segmen baja, manakala bekalan metanol berkemungkinan kekal terhad akibat aktiviti penutupan loji berjadual di Asia Tenggara.


PCG yang disenaraikan di Bursa Malaysia merupakan antara pengeluar bahan kimia bersepadu terbesar di ASEAN dengan kapasiti pengeluaran gabungan 16.8 juta tan metrik setahun. - DagangNews.com