KUALA LUMPUR 13 Jun - Petronas melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) menganugerahkan kontrak perkongsian pengeluaran aset lapangan kecil (SFA PSC) bagi Kluster Mutiara yang terletak di luar pesisir Sabah kepada Dialog Resources Sdn Bhd yang ditawarkan di bawah Pusingan Bidaan Malaysia 2025 (MBR 2025).
SFA PSC yang merangkumi kawasan sub-blok dalam Lembangan Sandakan diberikan kepada Dialog sebagai pengendali tunggal dengan 100% kepentingan penyertaan dalam blok tersebut.
Kluster Mutiara merangkumi lima lapangan, iaitu Nymphe, Nymphe North, Kuda Terbang, Benrinnes dan Mutiara Hitam.
Ia merupakan PSC pertama yang dianugerahkan di bawah MBR 2025 dan dijangka mencapai pengeluaran pertama menjelang 2029.
Terletak secara strategik di luar pesisir Pantai Timur Sabah, SFA PSC itu dilihat sebagai pemangkin untuk membuka Lembangan Sandakan kepada penerokaan lanjut bagi penciptaan nilai yang lebih meluas dan penglibatan tempatan, selaras dengan aspirasi Petronas untuk membuka potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan huluan yang menarik.
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir Bacho Pilong berkata, penganugerahan Kluster Mutiara merupakan langkah membuka potensi yang belum diterokai di Pantai Timur Sabah.
Katanya, pihaknya mengalu-alukan Dialog sebagai rakan kongsi dalam usaha itu bagi menjana nilai awal dan mampan daripada Lembangan Sandakan.
"Penganugerahan ini mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap peluang huluan di Malaysia serta terma kompetitif yang ditawarkan di bawah MBR 2025.
"Sebagai peneraju industri, MPM kekal komited untuk memudahkan perkongsian yang berimpak tinggi dan memacu pelaburan yang bukan sahaja menyokong aspirasi tenaga negara, tetapi juga memperkasa pembangunan wilayah secara bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihaknya berharap dapat menyambut lebih banyak pelabur untuk menyertai Blok SB505, yang ditawarkan dalam MBR 2025, sebagai pintu masuk seterusnya untuk membuka potensi Lembangan Sandakan.
Petronas kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga yang optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam menguruskan sumber petroleum negara dan menyediakan pengurusan untuk aktiviti petroleum huluan di Malaysia. - DagangNews.com








