Penurunan harga minyak global, isu berterusan PETRONAS-Petros dikhuatiri memperlahan sektor O&G 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penurunan harga minyak global, isu berterusan PETRONAS-Petros dikhuatiri memperlahan sektor O&G 2026

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Dis – Perbelanjaan modal domestik PETRONAS dijangka kekal rendah pada 2026, sekali gus mengekang pertumbuhan pendapatan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas (OGSE) serta mengekalkan sektor O&G negara pada penarafan neutral, menurut analisis Maybank Investment Bank.

 

Firma penyelidikan itu berkata faktor utama ialah kombinasi penurunan jangkaan harga minyak mentah dan isu berterusan antara dua syarikat minyak tempatan (PETRONAS-Petros), yang dijangka menyumbang kepada perlahan aktiviti luar pesisir dan projek bagi penyedia perkhidmatan terlibat pada 2026.

 

“Pendapatan dan keuntungan syarikat OGSE biasanya mencerminkan kitaran perbelanjaan modal PETRONAS, justeru penarafan semulag sektor dijangka sukar berlaku dalam 6–12 bulan akan datang,” kata Maybank IB dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

 

 

 

 

Maybank IB mengunjurkan harga minyak mentah Brent bagi 2026 melemah kepada purata AS$65/setong, berbanding AS$67/setong pada 2025, selaras dengan prospek lebihan bekalan minyak global.

 

Statistik 1H25 menunjukkan perbelanjaan modal PETRONAS menurun 31% YoY kepada RM17.7 bilion, berbanding RM25.7 bilion pada 1H24, terjejas oleh pengurangan pengeluaran OPEC+ dan isu dalaman syarikat minyak tempatan.

 

Pergerakan ini turut memberi kesan kepada syarikat OGSE seperti Dayang Enterprise, Perdana Petroleum, Keyfield International, Carimin Petroleum, Petra Energy dan MMHE, yang mencatatkan penurunan ketara dalam pendapatan.

 

Sementara itu, Deleum menonjol dengan memperoleh dua projek PETRONAS seluruh Malaysia pada akhir 2024, menyumbang kepada pendapatan tambahan pada 2025.

 

Walaupun aktiviti dan pekerjaan luar pesisir dijangka perlahan pada 2026, analisis Maybank IB menekankan, aktiviti penggerudian di Malaysia dijangka pulih bermula 2026, dengan jumlah telaga pembangunan dan penerokaan meningkat kepada 93–94 telaga pada 2026–2027, berbanding 86 telaga pada 2025.

 

Pemulihan ini disokong oleh program kerja baharu di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, serta proses kembali ke normal tempoh pelaksanaan projek pasca kelewatan 2024.

 

Maybank IB berkata, pemulihan awal ini memberi isyarat bahawa kitaran penggerudian huluan negara berada di paras dasar, dengan titik infleksi lebih ketara dijangka pada 2028 apabila prospek baharu dan peluang tambahan mula meningkat.

 

 

 

 

 

 

 

Peningkatan perlahan pada 2026–2027 menunjukkan penggunaan rig jack-up dan perkhidmatan sokongan yang lebih baik, walaupun tahap aktiviti masih di bawah unjuran puncak 114 telaga pada 2028.

 

Kesimpulannya, sektor O&G Malaysia dijangka mengekalkan momentum sederhana pada 2026, dengan pemulihan lebih signifikan dijangka berlaku selepas 2027, memberikan sedikit harapan kepada kontraktor dan penyedia perkhidmatan industri. - DagangNews.com