Pentamaster mampu catat buku tempahan besar pada FY26 dipacu program '9 Samurai', kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pentamaster mampu catat buku tempahan besar pada FY26 dipacu program '9 Samurai', kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 NovPentamaster Corporation Berhad dijangka memasuki fasa pertumbuhan yang lebih besar menjelang tahun kewangan 2026 (FY26), disokong oleh pelbagai faktor positif berterusan.


Menurut penganalisis, antaranya ialah peningkatan nilai buku tempahan, pemulihan segmen peralatan ujian automatik (ATE) serta sumbangan berterusan daripada segmen rumusan automasi kilang (FAS).


RHB Research menilai prospek FY26 kumpulan itu kekal positif didorong buku tempahan bernilai RM450 juta, berpotensi meningkat pada suku keempat 2025 melalui projek baharu, terutama sektor tertentu.


"Walaupun keputusan 9MFY25 menunjukkan penurunan hasil sebanyak 13.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM424.6 juta, pemulihan dijangka lebih mapan menjelang FY26," kata firma tersebut dalam notanya.


Inisiatif strategik di bawah program '9 Samurai', yang memfokuskan kepada teknologi pembungkusan cip generasi baharu, diunjurkan mula menyumbang secara bermakna dari tempoh 2HFY26 hingga FY27.


Situasi itu tambah RHB Research, disebabkan Pentamaster memperuntukkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM50 hingga RM80 juta dalam tempoh dua tahun yang akan datang.


Tumpuan syarikat itu dijangka kepada rumusan berasaskan kecerdasan buatan (AI), dan metrologi 3D X-ray, yang mempunyai harga jualan purata (ASP) tiga kali lebih tinggi daripada produk sedia ada.


"Bagaimanapun, kadar cukai efektif dijangka meningkat kepada 15% pada FY26 selepas tamatnya status perintis cukai pada April 2026, berpotensi mengehadkan pertumbuhan bersih," jelas firma tersebut.


Justeru, RHB Research menurunkan unjuran keuntungan FY26 dan FY27 masing-masing 6.8% dan 3.6%, sekali gus menyemak semula harga sasaran (TP) sesaham kepada RM3.97, daripada RM4.25 sebelum ini.


Firma penyelidikan berkenaan turut mengekalkan saranan 'neutral', sambil mencadangkan pelabur mengumpul saham ketika harga lemah memandangkan prospek jangka sederhana adalah kekal positif.

 

Artikel berkaitan:  Pentamaster catat peningkatan untung bersih 45% bagi 3QFY25

 

Sementara itu, Phillip Capital dalam notanya, turut menjangkakan prestasi Pentamaster yang lebih baik menjelang FY26, dipacu oleh momentum kukuh segmen perubatan serta pengguna dan industri.


"Ia  kini mewakili 60% daripada buku tempahan kumpulan, dan segmen FAS kekal sebagai pemacu utama, dengan pelanggan utama daripada peranti perubatan (35%) dan industri pengguna (20%)," katanya.


Sementara ATE pula menyumbang 40%, yang sebahagian besarnya daripada pelanggan semikonduktor dan automotif, dengan program '9 Samurai' yang dijadual dilancarkan syarikat itu antara 2026 hingga 2028.


Phillip Capital menambah, ia meliputi sembilan produk pembungkusan cip generasi baharu, dengan potensi ASP 2.5 kali lebih tinggi berbanding produk sedia ada yang menyasarkan pelanggan tertentu.


Ini jelas firma berkenaan, terutamanya di Taiwan dan Amerika Syarikat (AS), dengan potensi menjana pendapatan RM100 juta menjelang FY27 dan sasaran pendapatan kumpulan iaitu RM1 bilion pada 2027.


"Kami masih lagi mengekalkan saranan 'pegang' dengan TP tidak berubah pada RM3.95, berdasarkan 31 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26 , sambil menekankan risiko luaran," jelasnya lagi.


Antara cabaran yang perlu diharungi Pentamaster seperti pengukuhan mendadak ringgit berbanding dolar AS, perubahan margin keuntungan, serta tahap kekuatan tempahan pelanggan yang tidak menentu.


Dengan pengukuhan segmen automasi dan pelancaran produk baharu bernilai tinggi, syarikat itu kata Phillip Capital, namun berada di landasan untuk pertumbuhan kukuh sebanyak dua digit pada 2026.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan tersebut menjangka FY26 sebagai tahun pemulihan penting bagi Pentamaster, disokong oleh pelbagai faktoir yang positif. - DagangNews.com