KUALA LUMPUR 7 Nov – Pentamaster Corp Bhd mencatatkan kenaikan 45.3% dalam keuntungan bersih bagi suku ketiga 2025 (3QFY2025) kepada RM17.11 juta, berbanding RM11.77 juta pada tempoh yang sama tahun 2024.
Pentamaster yang berpangkalan di Pulau Pinang ialah sebuah syarikat teknologi kejuruteraan yang terlibat dalam reka bentuk dan pembuatan sistem automasi serta peralatan ujian automatik (Automated Test Equipment - ATE).
Namun, peningkatan itu bukan disebabkan jualan yang tinggi sebaliknya disebabkan penurunan kos pentadbiran syarikat dan kredit cukai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pentamaster berkata, hasil syarikat itu merosot sedikit sebanyak 1.4% kepada RM148.08 juta.
“Segmen ATE mencatatkan penurunan pendapatan 27.8% akibat penangguhan penghantaran projek automotif, manakala segmen automasi kilang mencatat penurunan sederhana sebanyak 4.7%, disebabkan permintaan normal daripada sektor perubatan.
“Bagi sembilan bulan pertama FY2025, keuntungan bersih syarikat menurun 18.1% kepada RM41.79 juta, manakala pendapatan merosot 13.8% kepada RM424.56 juta berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya,” kata Pentamaster.
Tiada dividen dicadangkan bagi suku berkenaan.
Namun, Pentamaster menjangkakan tahun kewangan 2026 lebih baik, dengan pendapatan daripada pesanan baru akan diiktiraf secara berperingkat.
“Syarikat juga merancang untuk terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, serta merebut peluang dalam rantaian nilai AI dan semikonduktor, yang dijangka menyokong pertumbuhan masa depan,” katanya.
Syarikat ini menyediakan penyelesaian berasaskan automasi kepada pelbagai industri, termasuk semikonduktor, automotif, perubatan, dan elektronik pengguna.
Pentamaster dikenali sebagai antara penyedia utama penyelesaian ujian dan automasi berteknologi tinggi di rantau ini, dengan pelanggan dari dalam dan luar negara.
Melalui kepakaran dalam automasi kilang dan sistem ujian berasaskan robotik serta kawalan pintar, syarikat ini membantu pengeluar meningkatkan kecekapan operasi, kualiti produk dan produktiviti keseluruhan. - DagangNews.com








