KUALA LUMPUR 19 Dis — TA Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas Scientex Berhad selepas kumpulan itu mencatat permulaan kukuh bagi FY26, dengan prestasi suku pertama menepati jangkaan.
Firma penyelidikan tersebut berkata, prestasi positif berkenaan disokong peningkatan kecekapan operasi dan daya tahan segmen hartanah, dengan keuntungan teras 1QFY26 sebanyak RM141.0 juta.
Nilai itu jelasnya, merangkumi 24% daripada unjuran penuh tahun, dengan untung bersih meningkat 9.7% tahun ke tahun (YoY), manakala hasil pula bertambah kira-kira 4.1% YoY kepada RM1.2 bilion.
"Situasi ini dipacu prestasi lebih baik dalam segmen pembuatan dan hartanah, namun Scientex tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku tersebut," kata TA Securities dalam notanya hari ini.
Tambahnya, keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sukuan bagi segmen pembuatan terus melonjak sebanyak 49.6% YoY kepada RM46.3 juta, walaupun hasil kekal hampir mendatar pada RM628.5 juta.
Prestasi ini disumbang oleh campuran jualan yang lebih menguntungkan serta kecekapan operasi yang dipertingkatkan, termasuk pengurangan pembaziran, kos kakitangan dan penambahbaikan teknologi.
Usaha secara berterusan yang dilaksanakan tersebut kata TA Securities, sekali gus berjaya dalam meningkatkan lagi margin EBIT kepada sebanyak 7.4% iaitu naik kira-kira 2.4 mata peratusan YoY.
"EBIT segmen hartanah pada suku berkenaan, meningkat 8.3% YoY kepada RM158.0 juta, sejajar dengan kenaikan hasil kira-kira 8.9% YoY kepada sebanyak RM526.6 juta," tambah firma penyelidikan itu.
Artikel berkaitan: Untung bersih Scientex meningkat kepada RM142.9 juta pada 1QFY26
Prestasi yang cukup menggalakkan itu katanya, disokong oleh lebih banyak pelancaran projek baharu di wilayah Utara, Tengah dan Selatan, selain kemajuan sektor pembinaan yang disifatkan stabil.
Sambutan terhadap projek sulung Scientex di Jawi, Pulau Pinang, serta pembangunan bertingkat tinggi pertama di perbandaran Seremban, Negeri Sembilan jelasnya, turut menerima sambutan baik.
Justeru, TA Securities menaikkan unjuran pendapatan untuk FY26 hingga FY28 sebanyak 1.5%, dengan mengambil kira penyempurnaan pelaksanaan pengurangan dan pembayaran balik modal terpilih (SCR).
"Ini termasuk oleh Scientex Packaging (Ayer Keroh) Berhad, yang sudah diluluskan oleh pemegang saham kumpulan pada 24 November 2025 dan dijangka siap menjelang Mac 2026," kata firma berkenaan.
Bagi FY26 pula jelasnya, pembangunan hartanah dijangka kekal sebagai pemacu utama Scientex, dengan sasaran kadar pengambilan 70% dan pelancaran yang dianggarkan boleh mencecah nilai RM3.0 bilion.
Kumpulan kata TA Securities, turut memiliki bank tanah sekitar 4,452 hektar dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) RM53.0 bilion, manakala dalam segmen pembuatan, kos input dijangka rendah.
Sehubungan itu tambah firma tersebut, pelbagai usaha penyusunan semula produk dijangka mengekalkan margin EBIT sekitar 6%, meskipun persaingan harga global diramal masih lagi sebagai kekal sengit.
"Susulan semakan unjuran, kami menaikkan harga sasaran sesaham kepada RM5.00 berbandung RM4.97, berasaskan penilaian jumlah bahagian (SOP) terhadap potensi syarikat," katanya. - DagangNews.com








