KUALA LUMPUR 17 Dis – Scientex Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM142.91 juta pada suku kewangan berakhir 31 Oktober 2025 berbanding RM128.61 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Scientex berkata, pendapatan syarikat bagi suku berkenaan meningkat 4.1% kepada RM1.16 bilion daripada RM1.11 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.
“Keuntungan operasi pula meningkat 15.5% kepada RM204.4 juta berbanding RM176.9 juta sebelumnya.
“Segmen pembungkusan merekodkan pendapatan sebanyak RM628.5 juta, sedikit meningkat daripada RM625.7 juta, manakala keuntungan operasi melonjak 49.6% kepada RM46.3 juta, didorong oleh campuran jualan yang menguntungkan serta inisiatif penjimatan kos dan kecekapan operasi,” katanya dalam makluman tersebut.
Sementara itu, segmen pembangunan hartanah mencatatkan pendapatan RM526.6 juta, naik 8.9% daripada RM483.7 juta tahun sebelumnya.
Keuntungan operasi meningkat kepada RM158 juta berbanding RM145.9 juta, dipacu oleh pelancaran projek baru termasuk projek pertama di Jawi, Penang dan pembangunan bertingkat di Seremban, Negeri Sembilan, yang mendapat sambutan pasaran positif.
Bagi suku semasa, aset syarikat berjumlah RM7.82 bilion, sedikit menurun daripada RM8.07 bilion pada suku sebelumnya, manakala ekuiti pemilik meningkat kepada RM4.26 bilion daripada RM4.12 bilion.
Scientex juga mengumumkan pengambilalihan tambahan 2.86% kepentingan dalam Scientex Packaging (Ayer Keroh) Berhad (SPAK), menjadikan pegangan syarikat dalam anak syarikat itu sebanyak 74.75%.
Pengambilalihan ini membabitkan pembayaran RM15 juta.
Dalam suku ini, syarikat tidak membuat sebarang pembayaran dividen.
Bagi tahun kewangan sebelumnya yang berakhir 31 Julai 2025, syarikat mencadangkan dividen akhir satu tier sebanyak 6 sen sesaham, yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan pada 17 Disember 2025 dan akan dibayar pada 23 Januari 2026.
Syarikat mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan jumlah pinjaman sebanyak RM2.23 bilion, termasuk sukuk bernilai RM1.06 bilion dan pinjaman perdagangan dalam mata wang ringgit dan yen Jepun.
Prospek tahun kewangan semasa bagi segmen pembungkusan kekal mencabar disebabkan persaingan sengit, inflasi, turun naik mata wang asing dan ketidakpastian geopolitik, manakala segmen hartanah bersedia memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam pasaran rumah mampu milik dengan beberapa projek baru di Jawi, Muar, Pulai 4 serta tanah baru di Melaka, Kedah dan Selangor. - DagangNews.com








