Penganalisis: Kos operasi naik, hasil sawit perlahan berisiko jejaskan pertumbuhan SD Guthrie | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis: Kos operasi naik, hasil sawit perlahan berisiko jejaskan pertumbuhan SD Guthrie

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 Mei – Prestasi lemah suku pertama SD Guthrie Berhad akibat pengeluaran tandan buah segar (TBS) lebih rendah dan kos operasi yang meningkat menimbulkan kebimbangan penganalisis.


Bagaimanapun, mereka masih berpandangan positif terhadap prospek kumpulan itu dengan menjangkakan pemulihan lebih kukuh bermula suku kedua disokong harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih baik.


Antaranya, RHB Research yang terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat perladangan ini, namun menetapkan harga sasaran (TP) rendah iaitu hanya RM7.00 berbanding RM7.25 sebelum ini.


"Kami menilai keuntungan teras 1QFY26 merosot 27% tahun ke tahun (YoY), sedikit di bawah jangkaan susulan pengeluaran TBS lemah dan kos tinggi penyelenggaraan ladang," kata firma itu dalam nota.


Ujarnya, output TBS susut 16.5% berbanding suku sebelumnya, namun SD Guthrie merekodkan pemulihan pengeluaran pada April 2026 dan dijangka lebih baik dari akhir suku kedua hingga suku keempat.


Kumpulan ini jelas RHB Research, hampir menjual keseluruhan pengeluaran MSM bagi 2Q pada harga RM4,380 satu tan, manakala lebih 60% pengeluaran 3Q sudah habis dijual pada RM4,400 satu tan.


Kos unit campuran namun naik kepada RM2,600 satu tan dalam 1Q, manakala kos operasi mencecah RM3,800 satu tan susulan perbelanjaan penyelenggaraan yang lebih tinggi dan kenaikan harga diesel.


"Kami menjangkakan sumbangan positif daripada penjualan tanah industri selepas SD Guthrie meraih keuntungan kasar RM160 juta daripada penjualan tanah seluas 102 hektar di Johor," kata firma itu.


Bagi baki tahun ini ujar RHB Research, kumpulan berkenaan dijangka melengkapkan dua lagi pelupusan tanah yang melibatkan 378 hektar di Kulai, Johor dan 121 hektar di Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Artikel berkaitan: Keuntungan 1QFY26 SD Guthrie susut kepada RM560 juta akibat kelemahan segmen huluan

 

SD Guthrie_DagangNews


Sementara itu, MBSB Research turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat perladangan tersebut dengan harga sasaran tidak berubah RM7.00 sesaham berdasarkan kaedah penilaian bahagian.


Firma penyelidikan itu berkata, prospek SD Guthrie sebenarnya terus disokong oleh faktor strategi penjanaan nilai tanah, prestasi kukuh segmen hiliran dan peningkatan produktiviti ladang miliknya.


"Kumpulan ini dijangka merekodkan keuntungan bersih sekitar RM500 juta setahun dalam tempoh lima tahun yang akan datang menerusi siri penjualan tanah secara berulang," tambahnya dalam analisis.


Kata MBSB Research, meskipun prestasi suku pertama dipengaruhi isu bermusim dan harga MSM rendah, hasil keseluruhan dianggap dalam jangkaan kerana keuntungan kukuh dijangkakan pada separuh kedua.


Justeru ujarnya, prestasi hiliran SD Guthries meningkat 30.9% YoY disumbangkan operasi pukal Asia Pasifik dan Eropah yang lebih baik selain peningkatan sumbangan daripada syarikat usaha sama (JV).


Firma itu turut menjangkakan hasil TBS pulih ke paras 22 tan sehektar hingga FY27, melepasi tahap sebelum pandemik hasil produktiviti ladang lebih baik dan keadaan penuaian yang semakin normal.


"Selain itu, keperluan baja bagi FY26 juga sudah banyak diperoleh lebih awal, sekali gus membantu kestabilan margin kumpulan ini walaupun kos input industri kekal tinggi," kata MBSB Research.


Ia turut menaikkan unjuran keuntungan FY26 dan FY27 masing-masing RM2.82 bilion dan RM2.79 bilion dengan andaian harga purata MSM sekitar RM4,300 bagi setiap tan. - DagangNews.com