KUALA LUMPUR 7 Mei – SD Guthrie Bhd mencatatkan sedikit penurunan keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026) susulan prestasi lebih lemah dalam segmen perladangan huluan.
Pengeluar minyak sawit tersenarai terbesar dunia berdasarkan keluasan tanaman itu merekodkan keuntungan bersih RM560 juta berbanding RM567 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil kumpulan turut menurun 2.6% kepada RM4.69 bilion daripada RM4.82 bilion sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SD Guthrie berkata penurunan prestasi itu sebahagian besarnya disebabkan keuntungan lebih rendah dalam segmen huluan apabila keuntungan berulang sebelum faedah dan cukai (PBIT) susut 30% kepada RM529 juta.
Keadaan itu berpunca daripada harga purata direalisasikan yang lebih rendah bagi minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit selain pengeluaran tandan buah segar yang lebih rendah.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, walaupun pasaran kekal tidak menentu, syarikat memberi tumpuan kepada faktor yang boleh dikawal termasuk produktiviti, kualiti dan pengurusan kos.
“Kami kekal berhati-hati dalam persekitaran operasi mencabar, namun berada pada kedudukan baik untuk terus bergerak ke hadapan dengan memanfaatkan kunci kira-kira yang kukuh, strategi mantap dan pelaksanaan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan itu juga akan terus meningkatkan keuntungan merentasi portfolio perniagaan yang pelbagai bagi baki tahun ini.
Tiada dividen diumumkan bagi suku semasa.
Dari segi prospek, SD Guthrie menjangkakan harga CPO kekal disokong dalam tempoh terdekat berikutan risiko bekalan berkaitan cuaca serta ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang meningkatkan harga tenaga dan bahan api global.
Menurut kumpulan itu, situasi tersebut dijangka meningkatkan kos operasi melibatkan logistik, baja dan aktiviti berkaitan tenaga.
Selain itu, peluasan mandat biodiesel di rantau ini dijangka terus menyokong harga CPO, walaupun ketidaktentuan berkaitan tahap kesiapsiagaan pelaksanaan masih wujud.
Segmen hiliran pula akan terus memberi tumpuan kepada perlindungan margin melalui rantaian bekalan bersepadu dan kehadiran geografi yang pelbagai ketika corak permintaan global berubah.
Dalam masa sama, segmen pembangunan perindustrian dan tenaga boleh diperbaharui dijangka menjadi penyumbang kepada daya tahan pendapatan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com








