Penganalisis kekal berhati-hati usaha WCT kembali ke pasaran UAE susulan ketidaktentuan geopolitik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis kekal berhati-hati usaha WCT kembali ke pasaran UAE susulan ketidaktentuan geopolitik

Bandar raya Abu Dhabi. - Foto AFP
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 JunLangkah WCT Holdings Berhad kembali menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat mencipta langkah penting dalam usaha mengembangkan operasi antarabangsa.

 

Bagaimanapun, penganalisis masih berhati-hati menilai prospek kumpulan itu susulan ketidaktentuan geopolitik Timur Tengah yang boleh memberi kesan kepada pelaksanaan projek dan margin keuntungan.

 

Kontrak itu menerusi usaha sama (JV) 50:50 antara anak syarikat milik penuhnya, WCT International Sdn Bhd dengan sebuah syarikat tempatan UAE, Construction General Contracting House Ltd (CGCH).

 

"Berdasarkan kepada struktur JV tersebut, bahagian efektif WCT dianggarkan bernilai RM264.5 juta," jelas Public Investment Bank merujuk projek Yas Living bernilai RM529 juta di Abu Dhabi itu.

 

Firma penyelidikan berkenaan namun menganggarkan kontrak baharu itu akan dapat meningkatkan buku tempahan pembinaan tertunggak kumpulan tersebut sebanyak 13.9% kepada kira-kira RM2.2 bilion.

 

Menurutnya, projek itu berpotensi menyumbang 14.3% setahun kepada keuntungan sepanjang tempoh kontrak kira-kira 32 bulan, sekali gus memperkukuhkan keterlihatan hasil dalam tempoh sederhana.

 

Artikel berkaitan: WCT bersama rakan usaha sama UAE raih projek pembangunan bercampur RM529 juta di Abu Dhabi

 

Bagaimanapun, PublicInvest mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham WCT dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 50 sen sesaham kerana kontrak itu masih berada dalam jangkaan pengisian.

 

Justeru, ia juga tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kerana kemenangan kontrak itu sudah diambil kira dalam andaian semasa buku tempahan sebanyak RM1 bilion bagi FY26.

 

"Kami pula berpandangan kontrak itu menandakan kemunculan semula dalam pasaran pembinaan UAE dan membuka peluang meraih banyak projek di rantau Timur Tengah pada masa depan," kata MBSB Research.

 

Tambah firma itu, kerjasama dengan CGCH membolehkan WCT memanfaatkan kepakaran kontraktor tempatan sambil mengembangkan jejak antarabangsa dalam pasaran pembinaan yang berpotensi tinggi di UAE.

 

Selain itu, ia menganggarkan bahagian kontrak milik kumpulan tersebut akan menyumbang kepada pendapatan sehingga FY29 dan membantunya dalam memperkukuhkan prestasi segmen pembinaan syarikat.

 

WCT_DagangNews2026

 

Namun begitu, MBSB Research menegaskan, ketegangan geopolitik di Timur Tengah boleh menjejaskan kemajuan projek, pengiktirafan hasil dan margin keuntungan jika keadaan menjadi lebih mencabar.

 

"Pada masa sama, kemenangan kontrak terbaharu itu meningkatkan buku tempahan WCT kepada RM2.17 bilion atau bersamaan kira-kira 2.2 kali hasil pembinaan FY25," ujar firma penyelidikan berkenaan.

 

Setakat suku pertama FY26, kumpulan itu mempunyai buku tender melebihi RM14 bilion yang terdiri daripada lebih RM5 bilion projek awam dan infrastruktur serta lebih RM9 bilion projek bangunan.

 

Walaupun melihat perkembangan itu sebagai positif, MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' dan menurunkan TP kepada 43 sen sesaham berdasarkan 10 kali unjuran hasil FY27 sebanyak 4.3 sen.

 

Jelasnya, prospek pendapatan WCT masih bergantung kepada kemajuan pengebilan projek infrastruktur yang sedia ada termasuk kerja pelebaran Lebuhraya PLUS. - DagangNews.com