WCT Holdings bersama rakan usaha sama UAE raih projek pembangunan bercampur RM529 juta di Abu Dhabi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

WCT Holdings bersama rakan usaha sama UAE raih projek pembangunan bercampur RM529 juta di Abu Dhabi

Pulau Yas di Abu Dhabi - Gambar Pre Launch Properties
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Jun – WCT Holdings Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, WCT International Sdn Bhd bersama rakan usaha sama dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) meraih satu lagi kontrak sub-pembinaan utama di Abu Dhabi membabitkan projek pembangunan bercampur di PulauYas dengan nilai kira-kira RM529 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata WCT International Sdn Bhd telah bergabung dengan Construction General Contracting House Ltd (CGCH), sebuah syarikat yang diperbadankan di UAE, bagi membentuk usaha sama pada nisbah pegangan 50:50.

 

“Usaha sama itu telah menerima Surat Anugerah Sub-Kontrak daripada CGCH untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan projek dikenali sebagai “Yas Living Main Works Package”.

 

“Projek tersebut dimiliki dan dibangunkan oleh Aldar Development LLC, iaitu antara pemaju hartanah utama di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

 

“Selepas penerimaan kontrak itu, kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama berdaftar  secara rasmi dengan pegangan 50:50 bagi melaksanakan kerja-kerja projek tersebut secara lebih tersusun,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pada peringkat struktur projek, WCT dan CGCH berada dalam kedudukan sub-kontraktor kepada CGCH selaku kontraktor utama manakala projek asal dibangunkan oleh Aldar Development LLC sebagai pemaju.

 

Skop kerja sub-kontrak tersebut merangkumi kerja-kerja struktur bukan asas, kerja seni bina, sistem mekanikal, elektrikal dan paip (MEP), serta kerja-kerja luaran keseluruhan pembangunan.

 

t

 

Bagaimanapun, kerja-kerja asas seperti cerucuk, penggalian dan kerja tanah tidak termasuk dalam skop sub-kontrak ini kerana ia akan dilaksanakan oleh pihak lain yang dilantik.

 

Projek ini melibatkan pembinaan tiga bangunan utama iaitu dua blok komersial dan kediaman di Plot C38 serta satu bangunan komersial dan kediaman di Plot C39, dengan setiap bangunan mempunyai 12 tingkat serta dua aras bawah tanah.

 

Nilai keseluruhan sub-kontrak dianggarkan sebanyak AED479 juta, bersamaan kira-kira RM528.99 juta berdasarkan kadar pertukaran semasa, menjadikannya antara projek antarabangsa penting bagi kumpulan WCT.

 

Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2026 selepas semua urusan dokumentasi dimuktamadkan serta penubuhan syarikat usaha sama diselesaikan sepenuhnya.

 

Tempoh pelaksanaan projek ditetapkan selama 972 hari dari tarikh permulaan kerja, iaitu kira-kira hampir tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

 

WCT turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan kumpulan itu mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.

 

Dengan penerimaan projek ini, WCT dijangka terus mengukuhkan kehadirannya dalam sektor pembinaan antarabangsa, khususnya di rantau Timur Tengah yang menjadi antara pasaran pertumbuhan utama syarikat. - DagangNews.com