KHPT menang kontrak bekal komponen model baharu Proton, berpotensi jana hasil RM155 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KHPT menang kontrak bekal komponen model baharu Proton, berpotensi jana hasil RM155 juta

Gambar hiasan ihsan Proton
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 JunKHPT Holdings Berhad mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan industri automotif tempatan apabila meraih kontrak daripada Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, tender diperoleh anak syarikat milik penuhnya bagi membekalkan komponen struktur tertentu model baharu pengeluar kereta nasional itu.

 

Ujarnya, Automev Global Sdn Bhd (AGSB) menerima surat penganugerahan (LOA) tender berkenaan daripada Proton untuk pembuatan dan pembekalan tertentu bahagian yang terpilih model baharu tersebut.

 

"LOA terkini itu dikeluarkan oleh Proton pada 29 Januari 2026, namun hanya diterima AGSB pada 6 Mei 2026, sekali gus menjadikan kontrak tersebut mengikat kedua-dua pihak terbabit," jelas KHPT.

 

Tender baharu berkenaan jelas kumpulan itu dijangka menjana hasil sekitar RM155 juta sepanjang tempoh pelaksanaannya, bergantung kepada jumlah tempahan yang akan diterima daripada Proton.

 

Menariknya, LOA itu akan kekal berkuat kuasa sepanjang kitar hayat model kenderaan berkenaan melainkan kontrak tersebut perlu dilanjutkan atau ditamatkan mengikut syarat yang dipersetujui.

 

KHPT berkata kontrak ini tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pegangan saham serta tiada impak material terhadap aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

"Bagaimanapun, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya model Proton berkenaan," kata kenyataan kumpulan tersebut lagi.

 

Lembaga pengarahnya turut berpandangan penerimaan kontrak berkenaan adalah dalam urusan biasa perniagaan dan berada dalam kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com