HSS Holdings jana jualan RM48.09 juta pada suku pertama 2026 disokong permintaan tinggi musim perayaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS Holdings jana jualan RM48.09 juta pada suku pertama 2026 disokong permintaan tinggi musim perayaan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Jun – HSS Holdings Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM48.09 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 disokong oleh peningkatan permintaan produk bakeri serta aktiviti perolehan yang kukuh.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata ia merekodkan keuntungan bersih RM4.1 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM5.56 juta.

 

“Prestasi kukuh itu turut dipacu oleh aktiviti perolehan yang menyumbang kira-kira 67% daripada jumlah hasil kumpulan, selain jualan produk bakeri seperti biskut dan kek.

 

“Permintaan turut meningkat susulan musim perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang meningkatkan penggunaan produk makanan dalam tempoh suku berkenaan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dari segi pecahan geografi, Malaysia menyumbang RM34.01 juta kepada hasil kumpulan, manakala RM14.08 juta lagi dijana daripada pasaran luar negara.

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan sedang memperkukuh kapasiti pengeluaran melalui pelaburan dalam mesin baharu, barisan pengeluaran biskut dan kek, serta automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi.

 

Syarikat juga sedang melaksanakan pelan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.18 sesaham, melibatkan terbitan 75 juta saham baharu dan 52.5 juta saham tawaran jualan.

 

Daripada jumlah itu, 25 juta saham diperuntukkan kepada orang awam, 10 juta kepada pengarah dan pekerja, 10 juta kepada pelabur Bumiputera MITI, serta 30 juta melalui penempatan persendirian.

 

Hasil IPO sebanyak RM13.5 juta akan digunakan untuk pembinaan dan naik taraf fasiliti pengeluaran, pembayaran hutang, modal kerja serta kos penyenaraian, dengan sebahagian besar dijangka digunakan dalam tempoh 12 bulan.

 

Syarikat turut optimis terhadap prospek industri bakeri yang dijangka berkembang pada kadar CAGR 7.8% sehingga 2030, disokong peningkatan permintaan makanan sedia dimakan dan produk pengguna harian. - DagangNews.com