KUALA LUMPUR 5 Jun — Langkah IOI Properties Group Berhad mengambil alih projek hartanah di South Beach, Singapura dengan harga RM2.75 bilion dibimbangi memberi risiko kewangan jangka pendek, kata TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kesan negatif berkenaan sebenarnya masih lagi wujud meskipun terdapat pelbagai prospek positif untuk pemilikan pejabat, hospitaliti dan runcit di pasaran negara jiran itu.
Antaranya tambah firma berkenaan, situasi peningkatan ketara dalam penggearan yang boleh menimbulkan kerisauan terhadap risiko kewangan bagi tempoh waktu sementara kerana tiada garis masa tertentu yang disediakan.
"Kami percaya ia mungkin menubuhkan amanah pelaburan hartanah (REIT) untuk penyahgearan selanjutnya ke atas portfolio hartanah pelaburan yang matang tetapi ini perlu proses panjang," katanya dalam nota kajian.
Jangkaan itu kata TA Securities, melibatkan kelulusan kawal selia, penilaian aset dan keadaan pasaran dengan tidak menolak kemungkinan pengumpulan dana ekuiti masa depan bagi mengurangkan tekanan kunci kira-kira.
Semalam, IOI Properties menyelesaikan baki 50.1 peratus ekuiti daripada pemaju South Beach, City Developments Ltd dengan Ascent View Holdings Pte Ltd untuk meraih pegangan dalam Scottsdale Properties Pte Ltd.
Artikel berkaitan: IOI Properties ambil alih projek South Beach di Singapura bernilai RM2.75 bilion

Hartanah berprestij itu terdiri daripada Menara South Beach, South Beach Avenue dan JW Marriott Hotel Singapore South Beach yang terletak dalam kawasan bersejarah Beach Road dan Middle Road dengan keluasan 3.5 hektar
Mengulas lanjut, TA Securities berkata, dengan mengandaikan pemerolehan dibiayai penuh oleh hutang, ia menganggarkan penggearan bersih akan meningkat ketara kepada 0.87 kali berbanding 0.75 kali pada akhir Mac 2025.
"Walaupun tiada pengumuman rasmi, penyenaraian REIT boleh membawa beberapa faedah secara strategik kerana hartanah pelaburan IOI Properties membawa nilai tempahan buku mencecah RM21.3 bilion pada 2024," kata firma itu.
Situasi ini tambah firma itu, menyediakan asas aset teguh yang boleh menjana hasil termasuk membuka kunci nilai hartanah, mengurangkan pinjaman dan mengukuhkan kedudukan imbangan kira-kira kumpulan berkenaan.
Langkah sedemikian kata TA Securities, dijangka membantu dalam mengurangkan kesan pemerolehan South Beach pada profil penggearan selain ia berkeyakinan terhadap pengalaman positif IOI Properties sendiri sebelum ini.
Berdasarkan perkembangan semasa daripada pengambilalihan South Beach itu, ia mengekalkan saranan "neutral" terhadap IOI Properties dengan harga sasaran sesaham masih tidak berubah kepada RM2.78. - DagangNews.com








