KUALA LUMPUR 4 Jun — IOI Properties Group Berhad mengambil alih baki 50.1 peratus pegangan dalam South Beach di Singapura daripada pemajunya, City Developments Ltd (CDL) dengan harga S$834.22 juta (RM2.75 bilion).
Kumpulan hartanah tersebut berkata, langkah pemerolehan berkenaan dijangka memberikan hak pemilikan penuh ke atas seluruh projek pembangunan aset penggunaan campuran yang cukup berprofil tinggi di negara jiran itu.
Anak syarikat miliknya, IOI Consolidated (Singapore) Pte Ltd telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan Ascent View Holdings Pte Ltd untuk memperoleh pegangan dalam Scottsdale Properties Pte Ltd.
IOI Properties kini memiliki sebanyak 49.9 peratus daripada Scottsdale iaitu syarikat induk South Beach Consortium Pte Ltd (SBC) dan setelah projek itu siap, ia akan memiliki 100 peratus pembangunan bersepadu South Beach.
Hartanah berkenaan terdiri daripada Menara South Beach, South Beach Avenue dan JW Marriott Hotel Singapore South Beach yang terletak dalam kawasan bersejarah Beach Road dan Middle Road dengan keluasan 3.5 hektar.
Ketua Eksekutif Kumpulan IOI Properties, Lee Yeow Seng berkata, pemerolehan keseluruhan pegangan ekuiti dalam pembangunan mercu tanda itu menandakan pengembangan strategik yang ketara bagi syarikat di Singapura.
"Ia meningkatkan profil kumpulan sebagai salah satu tuan tanah utama ruang pejabat premium dan pemain terkemuka dalam industri perhotelan di republik itu," kata beliau dalam satu kenyataan bersama CDL. - DagangNews.com








