Penerbit akhbar dijangka terus kehilangan pasaran perbelanjaan iklan kesan saingan media digital, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Penerbit akhbar dijangka terus kehilangan pasaran perbelanjaan iklan kesan saingan media digital, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - Kenanga Research menjangkakan penerbit akhbar terus kehilangan bahagian pasaran perbelanjaan iklan (adex) kesan daripada peningkatan kos perniagaan dan saingan media digital.

 

Katanya, perbelanjaan iklan bagi penerbit akhbar menyusut kepada hanya hanya 12.2% pada suku kedua 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia mewakili tahap terendahnya berdasarkan kepada data pihaknya yang bermula sejak suku pertama 2016 apabila akhbar memegang 52.5% bahagian pasaran.

 

"Penerbit tradisional mungkin terus bergelut untuk pulang modal, kerana tekanan hasil ditambah dengan kos yang tinggi mempengaruhi keuntungan mereka.

 

"Tidak seperti syarikat pemula digital baharu dengan struktur kos yang rendah, pemain tradisional dibebani oleh aset sedai ada seperti ibu pejabat korporat yang besar, kilang percetakan yang mahal dan tenaga kerja yang melebihi keperluan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kecuali televisyen siaran percuma (FTA TV),  Kenanga Research percaya media tradisional tidak dapat memanfaatkan pemulihan adex memandangkan persaingan sengit daripada media baharu.

 

Katanya, platform digital semakin menarik minat khalayak dan pengiklan didorong oleh peralihan struktur ke arah format video pendek dan jualan barangan menerusi penstriman langsung, aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi penyusunan kandungan serta iklan yang diperibadikan selain kos yang lebih rendah.

 

Pada masa sama, platform digital interaftif membolehkan komunikasi dua hala dan penglibatan pengguna. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan kebanyakan jenama dan peruncit terus berbelanja untuk pengiklanan digital bagi mengalihkan trafik ke tapak beli-belah dalam talian masing-masing," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya bimbang adex berkemungkinan terjejas oleh boikot pengguna terhadap jenama antarabangsa pengguna.

 

Katanya, konflik Gaza yang berterusan telah melemahkan persepsi beberapa jenama antarabangsa di Malaysia daripada makanan dan minuman kepada fesyen.

 

"Kesannya, syarikat-syarikat itu mengurangkan belanjawan pemasaran mereka bagi mengurangkan sebahagian daripada hakisan hasil," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan "underweight" untuk sektor media.- DagangNews.com