KUALA LUMPUR 10 Julai – PRG Holdings Bhd akan memulakan prosiding penggulungan terhadap Premier De Muara Sdn. Bhd. (PDM), sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pemegang saham terbesarnya, Datuk Ng Yan Cheng, berhubung dakwaan tunggakan bayaran sebanyak RM64.24 juta bagi kerja-kerja pembinaan sebuah projek kediaman di Kuala Lumpur.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PRG berkata peguam syarikat telah diarahkan untuk memfailkan petisyen penggulungan terhadap PDM selepas syarikat itu gagal memenuhi tuntutan statutori yang dikeluarkan sebelum ini.
Menurut PRG, anak syarikat milik penuhnya, Premier Construction (International) Sdn. Bhd. (PCI), telah mengeluarkan notis tuntutan statutori kepada PDM pada 8 Jun lalu yang memberikan tempoh 21 hari untuk melunaskan jumlah berkenaan, namun pembayaran gagal dibuat.
PCI merupakan kontraktor utama bagi projek Picasso Residence yang dibangunkan oleh PDM dan projek tersebut telah siap sepenuhnya.
Tindakan undang-undang itu sekali gus memperhebat pertikaian antara PRG dan pemegang saham terbesarnya apabila Ng, yang memiliki 19.39% kepentingan dalam syarikat, turut mengemukakan notis tuntutan statutori berjumlah RM21.22 juta terhadap PRG pada 1 Julai.
Tuntutan itu melibatkan pendahuluan yang diberikan sebagai modal kerja dan direkodkan sebagai pinjaman pemegang saham.
Ng turut memberi tempoh 21 hari kepada PRG untuk menjelaskan jumlah tersebut, dan sekiranya gagal, beliau berhak memulakan prosiding penggulungan terhadap syarikat.
Pertikaian itu berpunca daripada keputusan PRG menamatkan perjanjian penyelesaian dengan PDM pada 19 Mei lalu.
PRG mendakwa PDM gagal mendedahkan hubungannya dengan Ng serta kewujudan satu penghakiman mahkamah terhadap syarikat itu, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk memenuhi obligasi di bawah perjanjian berkenaan.
Di bawah perjanjian penyelesaian itu, sebanyak 12 unit kediaman bertingkat tinggi di Picasso Residence bernilai RM13.37 juta sepatutnya dipindahkan kepada PRG sebagai penyelesaian sebahagian daripada hutang RM37.17 juta yang terhutang oleh PDM.
Dalam perkembangan berkaitan, pertikaian itu turut menjejaskan struktur pengurusan PRG apabila pemegang saham kedua terbesar syarikat, Datuk Sheah Kok Fah, melancarkan usaha kedua untuk menyingkirkan Pengarah Urusan Kumpulan, Andrew Chan Lim-Fai.
Andrew merupakan menantu kepada Ng.
Sheah bersama pemegang saham Sy Dioceldo Sy, Cheah Eng Chuan dan Datuk James Jr Lee Weng Kei yang secara kolektif menguasai lebih 10% pegangan saham PRG telah mengemukakan permintaan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
Mereka bercadang menyingkirkan Andrew daripada jawatannya serta merombak komposisi lembaga pengarah syarikat, sekali gus menandakan konflik antara pemegang saham utama dan pihak pengurusan PRG terus memuncak. - DagangNews.com








