DNeX lancar XWHIZ platform AI bantu hasilkan minit mesyuarat secara automatik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX lancar XWHIZ platform AI bantu hasilkan minit mesyuarat secara automatik

Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT, Shiraz Ramli pada majlis pelancaran produk XWHIZ pada Khamis.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 10 Julai — Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menyertai gelombang penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan melancarkan sistem pembantu pejabat berkuasa AI dikenali sebagai 'XWHIZ'.

 

Syarikat itu menyasarkan untuk memperoleh 100 pelanggan atau pelanggan langganan bagi platform berkenaan menjelang akhir 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif bahagian IT kumpulan itu, Shiraz Ramli berkata, sasaran tersebut dilihat realistik berdasarkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian AI dalam kalangan organisasi.

 

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 100 pelanggan langganan menjelang akhir tahun ini," katanya pada majlis pelancaran XWHIZ pada Khamis.

 

Mengulas mengenai keberkesanan platform tersebut, Shiraz berkata, XWHIZ dibangunkan bagi membantu organisasi mengatasi pelbagai cabaran dalaman, khususnya dalam pengurusan maklumat mesyuarat.

 

"Sebahagian maklumat yang direkodkan ketika mesyuarat mungkin tidak dapat dirakam atau didokumentasikan sepenuhnya. Apa yang kami lakukan ialah memastikan jurang itu dapat diatasi," katanya.

 

Platform ringkaskan mesyuarat secara automatik

XWHIZ dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan IT dalaman DNeX dan mampu menukar perbualan lisan kepada transkrip yang tersusun serta tepat.

 

Platform itu turut menghasilkan ringkasan mesyuarat, minit mesyuarat menggunakan templat yang boleh disesuaikan, selain merekodkan keputusan dan tindakan susulan secara automatik.

 

Menurut Shiraz, XWHIZ mampu menghapuskan beban kerja pentadbiran selepas mesyuarat yang sebelum ini memerlukan masa berjam-jam untuk disiapkan secara manual.

 

"XWHIZ menghapuskan kerja pentadbiran selepas mesyuarat dengan menukarkan proses manual yang memakan masa kepada output yang boleh digunakan serta-merta. Selain meningkatkan produktiviti, ia turut melindungi kedaulatan digital Malaysia kerana keseluruhan ekosistem AI dikendalikan dalam negara dan mematuhi peraturan tempatan," katanya.

 

Selain itu, XWHIZ mampu mentranskripsikan audio dalam Bahasa Malaysia termasuk pelbagai loghat tempatan serta bahasa Inggeris.

 

Platform berkenaan juga boleh menterjemahkan transkrip tersebut ke dalam lebih 50 bahasa termasuk Mandarin, Sepanyol, Hindi dan Arab.

 

Patuh PDPA dan undang-undang penyimpanan data tempatan

XWHIZ turut dibangunkan bagi mematuhi keperluan penyimpanan data tempatan serta Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, bahagian IT menyumbang 13.75% daripada jumlah hasil kumpulan sebanyak RM267.56 juta, manakala segmen semikonduktor dan tenaga masing-masing menyumbang 57.98% dan 28.27%.

 

Bagaimanapun, bahagian IT merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan sebelum cukai DNeX sebanyak RM16.68 juta, dengan sumbangan 71.6%.

 

Perkhidmatan pemudah cara perdagangan, khususnya National Single Window (NSW), kini menjadi tunjang utama segmen IT syarikat. NSW ialah platform digital yang digunakan bagi pemprosesan kastam serta dokumentasi perdagangan melibatkan pelbagai agensi. - DagangNews.com