KUALA LUMPUR 10 Julai – TDM Bhd bakal menanggung kos operasi yang lebih tinggi berikutan kadar sewa lebih 32,000 ekar (12,985) hektar tanah perladangan yang dipajaknya di Terengganu disemak semula oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), selaras dengan kadar pasaran semasa.
Semakan itu melibatkan 32,089 ekar tanah yang diusahakan menerusi anak syarikatnya, KLLT Kumpulan Ladang-Ladang Terengganu Sdn Bhd (KLLT), merangkumi ladang di Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu.
Langkah tersebut dibuat berdasarkan peruntukan dalam perjanjian pajakan yang membolehkan kadar sewa dikaji semula setiap lima tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TDM berkata semakan kadar itu akan meningkatkan bayaran sewa tahunan syarikat sebanyak 9.8% atau kira-kira RM482,000 kepada RM5.38 juta berbanding RM4.9 juta sebelum ini.
Di bawah kadar baharu itu, sewa bagi tanah di Kemaman meningkat kepada RM166 seekar setahun daripada RM151 sebelum ini. Bagi ladang di Setiu dan Hulu Terengganu pula, kadar sewa dinaikkan kepada RM174 seekar setahun berbanding RM159 sebelum ini.
Bagi memuktamadkan semakan tersebut, KLLT telah menandatangani perjanjian tambahan dengan PMINT yang memperincikan kadar sewa baharu berkuat kuasa mengikut terma pajakan sedia ada.
TDM berkata, peningkatan kos sewa itu akan dibiayai menggunakan dana yang dijana secara dalaman.

Sehingga 31 Mac 2026, kumpulan itu mempunyai tunai berjumlah RM71.08 juta, selain pinjaman jangka pendek sebanyak RM67.74 juta dan pinjaman jangka panjang RM403.99 juta.
Menurut syarikat itu, semakan kadar sewa berkenaan berpotensi memberi sedikit kesan kepada prestasi kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2026.
Bagaimanapun, impak sebenar masih bergantung kepada beberapa faktor lain termasuk harga minyak sawit mentah (CPO) serta keadaan pasaran yang mempengaruhi hasil dan keuntungan kumpulan.
Walaupun berdepan peningkatan kos operasi, prestasi kewangan TDM pada suku pertama tahun ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, kerugian bersih syarikat mengecil kepada RM5.78 juta berbanding RM17.66 juta yang dicatatkan setahun sebelumnya.
Dalam tempoh sama, hasil kumpulan melonjak 34% kepada RM174.54 juta daripada RM130.18 juta, didorong peningkatan jumlah jualan minyak sawit mentah dan isirung sawit, selain prestasi lebih kukuh segmen penjagaan kesihatan menerusi KMI Healthcare.
Perkembangan itu menunjukkan perniagaan teras TDM terus berada pada landasan yang lebih baik, sekali gus membantu mengimbangi tekanan daripada kenaikan kos seperti bayaran sewa tanah perladangan. - DagangNews.com








