PTT Synergy lupus hartanah industri di Klang pada harga RM17 juta, sebahagian hasil digunakan bayar hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PTT Synergy lupus hartanah industri di Klang pada harga RM17 juta, sebahagian hasil digunakan bayar hutang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Julai – PTT Synergy Group Bhd melupuskan sebuah hartanah industri pegangan bebas di Bandar Bukit Raja, Klang pada harga RM17 juta secara tunai sebagai sebahagian daripada usaha memperkemaskan aset bukan teras serta mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia kumpulan itu berkata sebanyak RM11 juta daripada hasil pelupusan akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, manakala baki RM6 juta akan diperuntukkan sebagai modal kerja.

 

Sehingga 31 Mac 2026, PTT Synergy memiliki tunai dan baki bank berjumlah RM24.59 juta, manakala jumlah pinjaman keseluruhannya mencecah RM828.5 juta.

 

Hartanah yang dilupuskan itu merupakan sebuah kilang berkembar dua tingkat yang berdiri sendiri dengan keluasan binaan kasar 20,197 kaki persegi dan terletak di Bandar Bukit Raja, Klang.

 

Menurut PTT Synergy, hartanah tersebut mempunyai nilai buku bersih sebanyak RM15 juta berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini, manakala kos pelaburan asalnya ialah RM11.28 juta.

 

Pembeli hartanah itu ialah WDG Resources Sdn. Bhd., sebuah syarikat berpangkalan di Klang yang menjalankan aktiviti perdagangan, penyewaan dan penyelenggaraan mesin industri.

 

WDG Resources dimiliki sebanyak 75% oleh Danny Ang Cha Sen dan baki 25% oleh Epilog Tegap Sdn. Bhd.

 

PTT Synergy berkata, urus niaga berkenaan dijangka menghasilkan keuntungan pelupusan sebanyak RM2 juta dan dijangka diselesaikan menjelang suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

 

Menurut syarikat itu, pelupusan berkenaan dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan menerusi pengurangan komitmen hutang, di samping membolehkan sumber kewangan disalurkan kepada keperluan modal kerja dan aktiviti perniagaan teras. - DagangNews.com