KUALA LUMPUR 10 Julai – Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan penarafan "Overweight" terhadap sektor automotif dan menjangkakan prestasi industri kekal berdaya tahan sepanjang 2026 disokong oleh jualan kukuh Perodua dan Proton.
Firma penyelidikan itu berkata, jumlah volum industri (TIV) bagi tempoh lima bulan pertama 2026 berjumlah 315,600 unit, susut 1.5% berbanding tempoh sama tahun lalu, namun pencapaian tersebut secara keseluruhannya masih selaras dengan unjuran TIV sebanyak 780,000 unit bagi keseluruhan 2026, iaitu penurunan sekitar 5% berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, penurunan itu berpunca daripada bilangan hari bekerja yang lebih sedikit, penutupan sementara operasi kilang Perodua bagi kerja penyelenggaraan berjadual serta permintaan yang lebih perlahan terhadap beberapa pengeluar automotif Jepun.
"Walaupun berdepan cabaran tersebut, jualan Perodua kekal berdaya tahan hasil kekuatan jenama serta penawaran model pada harga mampu milik, manakala Proton terus mencatat pertumbuhan kukuh disokong pelancaran model baharu dan strategi harga yang kompetitif," katanya dalam nota kajian.
Proton dan Perodua Terus Kukuhkan Penguasaan Pasaran
Proton merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 39.6% dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, didorong kejayaan model pengganti Saga serta rangkaian kenderaan elektrik (EV) e.MAS.
Mazda turut mencatat pertumbuhan jualan sebanyak 35.6% hasil pelancaran varian Mazda3 1.5L yang ditawarkan pada harga lebih kompetitif.
Pada masa sama, pengeluar automotif dari China seperti BYD, Jaecoo, Jetour, iCAUR dan Zeekr terus meningkatkan bahagian pasaran menerusi pelancaran model baharu serta kempen jualan agresif yang memberi tekanan kepada pengeluar automotif Jepun dan Eropah.
HLIB Research berkata, penguasaan pasaran oleh pengeluar automotif nasional terus meningkat daripada kurang 50% sebelum 2019 kepada paras rekod 67.6% dalam tempoh lima bulan pertama 2026.
“Pengeluar automotif China pula menguasai 7.8% bahagian pasaran, manakala bahagian pasaran OEM Jepun merosot kepada 21.1% daripada 35%, sementara OEM Eropah menyusut daripada 3.8% kepada kurang 2%.
“Pelaburan strategik Geely sejak 2017 membolehkan Proton memperkenalkan lebih banyak model kompetitif, manakala Perodua terus mendapat kelebihan menerusi kenderaan yang menawarkan nilai terbaik kepada pengguna serta rangkaian pengedar yang meluas,” katanya.

EV Dan Dasar Kerajaan Dijangka Terus Rangsang Jualan
HLIB juga menjangkakan penggunaan EV akan berkembang lebih pantas pada separuh kedua 2026 berikutan kemunculan lebih banyak model mampu milik serta pertambahan kemudahan pengecasan di seluruh negara.
“Sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini, jualan EV mencecah 25,500 unit dengan bahagian pasaran meningkat kepada 8.1% berbanding 3.8% pada 2025.
“Proton mendahului segmen itu menerusi jualan 9,356 unit e.MAS 5 dan 2,286 unit e.MAS 7, diikuti BYD Atto 3 dengan 1,873 unit. Perodua pula baru-baru ini menurunkan harga model EV QV-E kepada RM63,500 menerusi skim pajakan bateri atau RM87,500 bagi pembelian terus,” jelas HLIB.
Firma itu berkata, dasar baharu import kenderaan elektrik (EV) binaan penuh (CBU) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026 hanya membenarkan model bernilai sekurang-kurangnya RM200,000 (berdasarkan nilai kos, insurans dan tambang atau CIF) serta mempunyai kuasa motor minimum 180 kilowatt diimport ke Malaysia.
Langkah itu dijangka mengehadkan kemasukan EV import pada harga lebih mampu milik, namun pengeluar masih boleh menawarkan model tersebut menerusi pemasangan tempatan (CKD), yang akan memberi kelebihan kepada Proton dan Perodua.
Belanjawan 2026 Dan Faktor Ekonomi Sokong Industri
Menurut HLIB, program geran padanan RM10 juta yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2026 bagi menggalakkan pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun melupuskan kenderaan lama dan membeli model baharu Proton atau Perodua dijangka merangsang jualan.
Pembeli yang layak boleh menikmati rebat sehingga RM4,000, manakala pemandu teksi dan e-hailing yang layak turut diberikan pengecualian penuh duti eksais dan cukai jualan.
Firma itu turut menjangkakan ringgit akan kembali mengukuh menjelang penghujung 2026, sekali gus mengurangkan kos import kenderaan CBU, kit CKD, komponen dan bahan mentah. Kesan itu dijangka memberi manfaat kepada syarikat seperti Sime Darby dan UMW (Toyota), Tan Chong Motor (Nissan), DRB-Hicom (Honda) serta Bermaz Auto yang mempunyai pendedahan kepada yen Jepun.
Pada masa sama, HLIB Research menjangkakan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sepanjang separuh kedua 2026. Malah, perubahan kadar sebanyak 25 mata asas dianggarkan hanya memberi kesan sekitar RM15 sebulan kepada ansuran pinjaman bagi pembelian kenderaan bernilai RM80,000 dengan pembiayaan 90% untuk tempoh sembilan tahun.
Firma penyelidikan itu turut menarik perhatian bahawa semakan kaedah pengiraan Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan CKD sekali lagi ditangguhkan sehingga 1 Januari 2027, manakala Kementerian Kewangan memberi jaminan perubahan itu dijangka memberi kesan minimum atau tiada kesan terhadap harga jualan kenderaan CKD.
Sehubungan itu, HLIB Research mengekalkan penarafan "overweight" terhadap sektor automotif dan terus memilih MBM Resources Bhd serta Sime Darby Bhd sebagai saham pilihan utama.
Ini kerana kedua-dua syarikat itu mempunyai pendedahan besar kepada Perodua yang dijangka terus mencatat jualan mampan, lebih berdaya tahan terhadap persaingan sengit daripada pengeluar China serta kurang terkesan sekiranya kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api pada masa hadapan.- DagangNews.com








