Kenaikan OPR hanya berlaku tahun depan, penganalisis unjur kadar kekal 2.75% sepanjang 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan OPR hanya berlaku tahun depan, penganalisis unjur kadar kekal 2.75% sepanjang 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Julai - Penganalisis ekonomi menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) hanya akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur mulai tahun hadapan selari dengan langkah membetulkan semula dasar monetari negara.

 

Sehubungan itu, kebanyakan mereka yakin OPR sepanjang baki tahun ini kekal pada paras 2.75% disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan serta inflasi yang masih terkawal.

 

Jangkaan itu dibuat selepas bank pusat mengekalkan OPR pada 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam, selaras dengan konsensus pasaran dan tinjauan Bloomberg.

 

Dalam kenyataan dasar monetarinya, BNM menyatakan pendirian dasar semasa kekal sesuai bagi menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

Bank pusat turut mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4% hingga 5% pada 2026, manakala inflasi dijangka berada dalam lingkungan purata 1.5% hingga 2.5%.

 

OCBC Bank berpandangan BNM akan mengekalkan OPR pada 2.75% sepanjang tahun ini sebelum menaikkannya sebanyak 25 mata asas kepada 3.0% pada awal 2027.

 

Pandangan sama turut dikongsi BIMB Securities yang menjangkakan proses normalisasi dasar monetari hanya akan bermula selepas ketegangan geopolitik global reda.

 

Diunjur Naik Kepada 3.0% Pada 2023, 3.25% 2028

Firma penyelidikan itu mengunjurkan OPR meningkat kepada 3.0% pada 2027 sebelum mencecah 3.25% pada 2028.

 

"Dengan inflasi yang kekal terkawal, pasaran buruh yang kukuh serta momentum eksport yang terus disokong oleh permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, BNM dijangka mempunyai lebih banyak ruang untuk menormalisasikan dasar monetari secara beransur-ansur mulai 2027 tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Sementara itu, MBSB Research menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 4.5% daripada 4.2% sebelum ini selepas mengambil kira prestasi ekonomi yang lebih kukuh pada separuh pertama tahun ini.

 

Menurut firma itu, peningkatan eksport, permintaan domestik yang kekal stabil serta pengurangan risiko luaran menyokong semakan naik terhadap unjuran pertumbuhan tersebut.

 

Bagaimanapun, MBSB Research menjangkakan inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.0% pada 2026 berbanding 1.4% pada tahun sebelumnya berikutan kesan kenaikan kos yang dijangka semakin ketara.

 

Data terkini menunjukkan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.0% pada Mei, kadar tertinggi sejak Julai 2024.

 

Dalam pada itu, ANZ Research mengambil pendirian berbeza apabila mengekalkan unjuran bahawa BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua 2026.

 

Menurut ANZ Research, ketegangan yang kembali memuncak di Timur Tengah masih mewajarkan pendekatan dasar yang berhati-hati.

 

Namun, sekiranya pertumbuhan ekonomi terus kekal berdaya tahan dan inflasi meningkat secara beransur-ansur, keperluan untuk mengekalkan pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas yang dilaksanakan sebelum ini akan semakin berkurangan. - DagangNews.com