KUALA LUMPUR 10 Julai – Prospek IJM Corporation Berhad terus dilihat positif susulan syarikat itu menyasarkan pengagihan pulangan bernilai RM3 bilion kepada pemegang saham dalam tiga tahun.
Menurut MBSB Research, langkah jangka sederhana kumpulan itu disifatkan sesuai walaupun industri pembinaan masih berdepan cabaran kesan tekanan kos akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Kata firma itu, strategi yang dirangka merangkumi cadangan penyenaraian perniagaan pembinaannya, penjanaan hasil lebuh raya bertol serta pengurangan pendedahan syarikat kepada operasi di India.
"Usaha ini dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan, dengan kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham IJM dan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.82 sesaham," jelasnya dalam nota.
Tambah MBSB Research, pelan pengagihan nilai pemegang saham itu bersamaan kira-kira 83 sen dividen sesaham secara kumulatif atau menawarkan pulangan tersirat sekitar 40% dalam tempoh tiga tahun.
Dalam perkembangan lain, anak syarikatnya, New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE) menerbitkan sukuk berkaitan kelestarian (SLS) daripada program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM1.42 bilion.

Dana ini akan digunakan bagi membiayai projek sambungan Lebuhraya Baru Pantai 2, dengan penerbitan itu sebagai SLS pertama di dunia bagi projek lebuh raya yang mempelbagaikan sumber pembiayaan.
"Kami berpandangan usaha itu menyokong pelaksanaan projek aset lebuh raya IJM, yang menyumbang RM575 juta atau 19.2% daripada keseluruhan pelan penciptaan nilai RM3 bilion," kata MBSB Research.
Ujarnya, menurut pengurusan kumpulan, aset lebuh raya miliknya seperti NPE, BESRAYA dan LEKAS dijangka diserap sama ada ke dalam struktur amanah perniagaan atau melalui pengaturan dua hala.
Projek baharu dijangka meningkatkan nilai portfolio lebuh raya IJM melalui jaringan hubungan serta integrasi aliran trafik, yang menyokong pertumbuhan hasil konsesi lebuh raya pada masa hadapan.
Dari sudut pelaksanaan pula, IJM mengesahkan pembinaan mengikut jadual untuk disiapkan pada 2029 dengan kemajuan keseluruhan kini mencapai 6%, dibantu penggunaan teknik yang mempercepatkan kerja.
"Kami berpandangan impak tekanan kos pembinaan akibat ketidaktentuan di rantau Timur Tengah masih terkawal kerana sebahagian besar pakej diberi sebelum kenaikan harga berlaku," jelas firma itu.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan serta TP sesaham, bersamaan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 22.2 kali bagi FY27. - DagangNews.com








