Pencapaian Axiata pada 3Q25 di pasaran Malaysia, Indonesia dinilai penganalisis masih tidak stabil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pencapaian Axiata pada 3Q25 di pasaran Malaysia, Indonesia dinilai penganalisis masih tidak stabil

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Nov – Pencapaian tidak stabil di pasaran Malaysia dan Indonesia serta kerugian besar akibat kerugian nilai Linknet terus menekan keputusan Axiata Berhad bagi 3Q25, kata penganalisis.


Mereka berpendapat, kumpulan telekomunikasi bersepadu itu namun masih mencatat kemajuan dalam usaha pengurangan hutang dan pengukuhan kedudukan kewangan terutama penambahbaikan strukturnya.


MBSB Research menaikkan saranan kepada 'neutral' dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.29 daripada RM1.88, susulan keputusan suku ketiga yang menunjukkan sokongan lebih kukuh daripada pasaran utama.


"Kami menekankan isu penurunan besar nilai di Linknet, persaingan sengit di Malaysia dan Indonesia serta prestasi bercampur dalam perniagaan digital masih mengekang momentum keuntungan," katanya.


Selepas pelarasan item luar biasa, untung selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) asas pada 3QFY25 adalah RM165 juta, turun 2.4% tahun ke tahun (YoY) tetapi meningkat 7.8% suku ke suku (QoQ).


Bagi 9MFY25 pula jelas MBSB Research, PATAMI asas sebanyak RM378 juta, meningkat 19.7% YoY, selari jangkaan, dengan penyumbang utama termasuk pertumbuhan lebih kukuh di pasaran besar syarikat itu.


Langkah penjimatan kos di Edotco dan kerugian Boost yang mengecil turut membantu Axiata, tetapi prestasi lemah di Linknet serta entiti berkaitan iaitu CelcomDigi dan XL Smart, menjadi halangan.

 

Artikel berkaitan: Untung bersih Axiata pada 9M25 kekal kukuh kepada RM403.3 juta disokong pengurangan hutang


"Dari segi kewangan, kumpulan menunjukkan kemajuan ketara apabila nisbah hutang bersih susut kepada 2.61 kali, dibantu pelupusan kepentingan XL dam jumlah pinjaman juga turun kepada RM15.6 bilion.


MBSB Research mengekalkan unjuran pendapatan kumpulkan berkenaan tetapi menaik taraf TP selepas mengemas kini kedudukan hutang peringkat pegangan syarikat dalam model penjumlahan bahagian (SOP).


Berbeza pula dengan RHB Research yang mengekalkan saranan 'beli' dan TP RM2.95, disokong potensi kenaikan 14% dan hasil dividen sekitar 4% pada FY26, serta melihat strategi pengurangan hutang.


Usaha itu katanya, dinilai sebagai pemangkin utama penarafan semula saham Axiata, dan keuntungan inti 9M25 sebanyak RM510 juta, walaupun turun 19% YoY disebabkan kesan pengukuhan ringgit.


"Ini masih sejajar jangkaan memandangkan suku keempat biasanya kukuh, dan pengurangan hutang secara agresif, termasuk penebusan awal bon pada Ogos 2025 menurunkan kos pembiayaan 33% YoY," katanya.


RHB Research menjangkakan nisbah hutang bersih kumpulan itu boleh turun di bawah 1.5 kali menjelang FY26, bersandarkan potensi pengewangan Edotco dianggarkan bernilai RM7 bilion hingga RM13 bilion.


Ia kekal optimistik terhadap pemulihan nilai jangka panjang syarikat dan bersetuju Axiata berdepan cabaran struktur, khususnya di Linknet, namun pengukuhan operasi di pasaran menjana pertumbuhannya.


Bagaimanapun, firma itu memberi amaran risiko utama termasuk persaingan lebih sengit, sinergi integrasi yang rendah daripada jangkaan, dan kelewatan proses pelupusan aset. - DagangNews.com