KUALA LUMPUR 27 Nov — Axiata Group Berhad mengekalkan prestasi kewangan kukuh bagi tempoh sembilan bulan yang pertama 2025 apabila melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM403.3 juta.
Menurut kumpulan telekomunikasi itu, perkembangan positif tersebut disokong peningkatan keuntungan operasi, penurunan kos kewangan serta strategi penyatuan yang berdisiplin dalam semua pasaran.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) turut melonjak 19.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM378 juta, dipacu oleh pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) lebih tinggi.
"Kos pembiayaan rendah susulan pembayaran hutang bernilai RM1.9 bilion juga membantu Axiata dan ia berjaya mengurangkan nisbah hutang bersih kepada 2.6 kali, menghampiri sasaran 2.5 kali," katanya.
Jelasnya lagi, hasil pengurusan liabiliti termasuk pelunasan sebahagian nota jangka sederhana Euro (EMTN), manakala aliran tunai operasi selepas penyewaan turut meningkat kepada RM1.5 bilion.
Situasi itu mencerminkan disiplin tunai yang kukuh dan kumpulan ini menerima RM1.2 bilion dividen pada 9M25 daripada semua syarikat operasinya, termasuk CelcomDigi, XLSMART, Dialog, Robi dan Smart.
Katanya, CelcomDigi mencatat pertumbuhan hasil 1.1% YoY, dipacu segmen prabayar dan perusahaan dengan integrasi rangkaian dan sinergi kos terus lancar, menyokong sasaran penjimatan tahunan.
Sementara itu XLSMART Indonesia menyaksikan hasil meningkat 20.5% YoY, dipacu pertambahan pelanggan serta pemodenan rangkaian berada pada landasan untuk menjana AS$150 juta (RM620 juta) pada 2025.
"Dalam pada itu, hasil Robi di Bangladesh susut 2.5% YoY akibat tekanan makroekonomi namun strategi kecekapan kos melonjakkan PATAMI 55.2%, manakala hasil Dialog di Sri Lanka naik 6.2%," katanya.
EBIT dan PATAMI juga meningkat lebih 100% YoY hasil sinergi Airtel, sementara pertumbuhan tinggi Smart di Kemboja melibatkan perniagaan prabayar dan enterprise memacu peningkatan hasil 6.8%.
EDOTCO pula merekodkan margin kasar 73.4%, disokong tempahan kerja kukuh, dan walaupun hasil susut 8.3% akibat kesan tukaran asing, PATAMI pula didapati meningkat hasil kos pembiayaan lebih rendah.
Segmen Boost pula menyaksikan hasil melonjak 49.1% pada 9M25, dipacu pertumbuhan pinjaman melalui Boost Bank, manakala ADA meningkat PATAMI 63.9% susulan margin yang baik dan kos lebih rendah.
Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan ketika mengulas keputusan itu berkata, prestasi ini mencerminkan ketahanan portfolio kumpulan merentas pasaran dan strategi pengoptimuman modal.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Vivek Sood pula menegaskan, pengurangan hutang, penambahbaikan margin serta sinergi penggabungan di Malaysia dan Indonesia menjadi pemacu utama prestasi kukuh.
"Secara keseluruhan, Axiata terus menunjukkan daya tahan operasi dan keupayaan menjana keuntungan, dengan aliran tunai yang kukuh serta pelaksanaan strategi 5*5 yang konsisten," kata kenyataan itu.
Walaupun ada cabaran seperti persaingan jalur lebar tetap di Indonesia menekan prestasi Linknet, kekuatan operasi dan infrastruktur memastikan kumpulan ini berada pada landasan stabil. - DagangNews.com








