Pembelian tanah di Bukit Raja perkukuh hasil Paramount hingga FY27, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian tanah di Bukit Raja perkukuh hasil Paramount hingga FY27, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 DisTA Securities berpandangan positif terhadap langkah Paramount Corporation Berhad memperoleh tanah berstatus pegangan pajakan di Bukit Raja, Selangor pada 17 Disember 2025.


Firma itu melihat langkah tersebut mampu mengukuhkan bank tanah dan keterlihatan pendapatan jangka panjang kumpulan, sekali gus ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.46 sesaham.


Ia merujuk pemeteraian perjanjian jual beli dengan SJ Properties Sdn Bhd bagi mengambil alih tiga lot tanah bersebelahan dengan luas keseluruhan 19.6 hektar di kawasan itu pada harga RM113.5 juta.


"Tapak ini strategik di lokasi pertumbuhan baharu Seksyen U9, Shah Alam sepanjang Guthrie Corridor Expressway (GCE) dan hanya tiga kilometer dari persimpangan lebuh raya itu," kata TA Securities.


Selain itu tambah firma penyelidikan berkenaan, kawasan tersebut berdekatan dengan perbandaran yang dianggap sudah matang seperti Cahaya SPK, Denai Alam, Sunway Kayangan dan City of Elmina.


Tanah ini jelasnya, akan dibangunkan sebagai projek bercampur melibatkan rumah teres dua tingkat, rumah jenis bandar dan kondominium, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM579 juta.


Pembangunan pula kata TA Securities, dijadualkan berlangsung selama enam tahun dengan pelancaran disasarkan pada 2026, manakala kos pemerolehan selari pasaran dan dianggap masih lagi munasabah.


"Harganya sejajar dengan penilaian pasaran oleh penilai bebas Henry Butcher, dan disifatkan wajar meskipun nisbah kos tanah itu kepada GDV sekitar 20% berada di paras tinggi," kata firma tersebut.


Artikel berkaitan: Paramount beli tanah 19.6 hektar di Bukit Raja bernilai RM113.5 juta, sasar GDV RM579 juta


Situasi itu memandangkan tanah sudah ditukar kepada kegunaan kediaman serta mempunyai kelulusan utama termasuk perintah pembangunan, membolehkan pelaksanaan dan pelancaran yang lebih pantas.


TA Securities menambah, ini merupakan pemerolehan tanah ketiga Paramount pada 2025, menjadikan perbelanjaan bank tanah tahun ini kepada RM300 juta, dengan potensi GDV keseluruhan RM2.3 bilion.


Selepas transaksi itu, baki saluran GDV kumpulan berkenaan meningkat kepada RM5.04 bilion, selari dengan sasaran pengurusannya untuk mengisi semula RM6.0 bilion GDV sepanjang FY25 hingga FY26.


"Usaha ini bagi menyokong pelancaran projek selama lima tahun akan datang, dan kami menekankan kekuatan rekod Paramount di koridor Shah Alam, disokong oleh pembangunan sedia ada," katanya.


Antaranya seperti Kemuning Utama, Utropolis Glenmarie dan Sekitar26 Enterprise, yang dijangka membantu syarikat dalam mengurangkan risiko pelaksanaan serta meningkatkan kadar pengambilan.


Pembiayaan pula akan melibatkan gabungan dana dalaman serta pinjaman bank, dengan TA Securities menganggarkan nisbah gear kasar naik kepada 0.88 kali dan gear bersih meningkat kepada 0.73 kali.


Ini melepasi paras keselesaan pengurusan 0.75 kali buat sementara waktu, namun firma penyelidikan itu berpandangan peningkatan masih terkawal dan wajar bagi peluang yang bersifat penjana nilai.


"Kam mengekalkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27, tertakluk penyempurnaan pemerolehan, disokong lokasi strategik, keterlihatan hasil dan prospek jangka panjang positif," katanya. - DagangNews.com