KUALA LUMPUR 17 Dis — Paramount Corporation Berhad memperkukuh simpanan tanahnya apabila anak syarikat milik penuhnya, Prima Kuasa Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli bagi pemerolehan tiga lot tanah pajakan bersebelahan di Bukit Raja, Shah Alam, pada nilai RM113.5 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Paramount berkata tanah berkeluasan keseluruhan kira-kira 19.6 hektar itu diperoleh daripada SJ Properties Sdn Bhd dan akan dibangunkan sebagai projek kediaman berjenama Paramount.
Harga belian tersebut adalah bersamaan kira-kira RM53.74 sekaki persegi, ditentukan berdasarkan prinsip pembeli sanggup dan penjual sanggup, selain mengambil kira kelulusan pembangunan yang telah diperoleh oleh penjual, sekali gus membolehkan pelancaran projek dilakukan dengan lebih pantas.
Menurut Paramount, pemerolehan itu sejajar dengan strategi kumpulan untuk menambah rizab tanah di lokasi strategik yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi serta kawasan yang telah mempunyai rekod reputasi pembangunan yang kukuh.
Tanah berkenaan terletak di pusat pertumbuhan baharu Shah Alam di sepanjang Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan kira-kira tiga kilometer dari persimpangan Lebuhraya Bertingkat Damansara–Shah Alam (DASH) dan GCE.
Beberapa pembangunan perbandaran utama berhampiran termasuk Cahaya SPK, Sunway Kayangan, Denai Alam dan City of Elmina.
Kumpulan itu mengunjurkan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM579 juta yang akan dijana dalam tempoh enam tahun menerusi pembangunan tersebut.
Pemerolehan ini turut meningkatkan jumlah GDV semasa Kumpulan Paramount kepada RM5.04 bilion, sekali gus dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan.
Bagaimanapun, kos pembangunan kasar masih belum ditentukan memandangkan pelan pembangunan terperinci masih dalam proses pemuktamadan.
Paramount turut menegaskan kumpulan itu mempunyai kehadiran jenama yang kukuh di Shah Alam hasil pembangunan terdahulu seperti Kemuning Utama, Utropolis Glenmarie dan Sekitar26 Enterprise, menjadikan projek baharu ini sebagai kesinambungan kepada aktiviti pembangunan kumpulan di kawasan berkenaan.
Perjanjian jual beli tersebut tertakluk kepada beberapa syarat terdahulu, termasuk kelulusan pemegang saham penjual, pihak berkuasa negeri serta Unit Perancang Ekonomi (EPU), sebelum ia menjadi tidak bersyarat. - DagangNews.com








