Pembelian tanah baharu di Melaka beri peluang besar kepada Scientex luaskan jejak di wilayah selatan, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian tanah baharu di Melaka beri peluang besar kepada Scientex luaskan jejak di wilayah selatan, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jan - Pembelian tanah terbaharu Scientex Bhd di Melaka dipercayai memberi peluang besar kepada kumpulan itu mengembangkan jejaknya di wilayah selatan khususnya di negeri itu, kata TA Securities.

 

Katanya, kumpulan itu membeli 213.9 hektar  tanah pegangan bebas di Paya Rumput daripada Genting Plantations Bhd dengan harga RM333.8 juta, dengan hasrat untuk projek pembangunan bercampur.

 

“Kami positif terhadap cadangan pengambilalihan ini kerana ia menandakan perbandaran perumahan mampu milik keenam di Melaka, berikutan pembangunan terbesar Scientex di Jasin.

 

"Sehingga kini, pembangunan Scientex di Melaka telah mencapai kadar pengambilan sebanyak 81%.

 

"Kami percaya pengambilan tanah ini tepat pada masanya untuk menambah simpanan tanah sedia ada kumpulan itu di Melaka," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Genting Plantations lupus dua bidang tanah pertanian lebih RM330 juta di Melaka kepada Scientex Heights

 

Dari segi kos tanah, TA Securities berkata, harga perolehan RM14.50 sekaki persegi untuk tanah baharu Paya Rumput adalah lebih tinggi daripada harga purata RM7.63 sekaki persegi yang dibayar syarikat untuk tiga pembelian tanah baru-baru ini di Melaka.

 

Menurut sumber, tanah ladang pegangan bebas di Paya Rumput kini diniagakan pada harga purata RM11 hingga RM16 setiap kaki persegi.

 

“Memandangkan harga pemerolehan berada dalam julat pasaran semasa ini, kami menganggap harga pembelian adalah adil, kerana tanah itu berdekatan dengan bandar Melaka, berbeza dengan pembangunan sedia ada Scientex di Jasin dan Durian Tunggal,” katanya.

 

Memandangkan pemerolehan masih dalam peringkat awal, tiada panduan nilai pembangunan kasar tersedia pada ketika ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.48 sesaham. - DagangNews.com