Pelupusan tanah strategik LBS di Johor Bahru bakal tingkatkan nilai pemegang saham – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelupusan tanah strategik LBS di Johor Bahru bakal tingkatkan nilai pemegang saham – PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Nov – Langkah LBS Bina Group Berhad menjual dua lot tanah strategik miliknya di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dijangka berupaya meningkatkan nilai kepada pemegang saham.


Menurut Public Investment Bank, pelupusan aset yang bernilai RM110 juta itu turut seiring dengan strategi kumpulan tersebut mengoptimumkan portfolio tanah dan memperkukuh kedudukan kewangan.


Ia juga menunjukkan nilai tersembunyi yang tinggi dalam aset LBS, selain membolehkan syarikat tersebut menjana keuntungan tunai dan mengagihkan semula modal kepada projek-projek pembangunan utama.


"Ini terutama di Lembah Klang kerana permintaan perumahan lebih kukuh dan kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 67 sen," kata firma itu dalam notanya hari ini.


Firma berkenaan menyifatkan transaksi ini sebagai selaras dengan strategi '8x8' LBS menumpukan pengewangan tanah tidak strategik bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pulangan pemegang saham.


Tanah seluas 8,267 meter persegi itu terletak berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta Pusat Konvensyen Persada Johor, iaitu kawasan komersial utama di pusat bandar Johor Bahru.


Artikel berkaitan: LBS Bina jual dua bidang tanah di Johor bernilai RM110 juta dijangka raih keuntungan RM45 juta



Tambah PublicInvest, jualan kepada Asiana Square Sdn Bhd itu dilakukan pada harga RM1,238 sekaki persegi (psf), yang dipercayai antara harga paling tinggi pernah direkodkan di lokasi tersebut.


"Tanah ini diperoleh antara 2013 hingga 2014, dan masih kosong, menjadikan keputusan penjualan sebagai langkah strategik merealisasikan keuntungan daripada kenaikan nilai tanah," katanya.


Berdasarkan nilai buku bersih sebanyak RM64 juta, LBS dijangka merekodkan keuntungan pelupusan sekitar RM45 juta, manakala nisbah hutang kepada ekuiti dijangka bertambah baik kepada 0.43 kali.


PublicInvest turut menambah, kumpulan itu masih memiliki baki 1.4 hektar tanah bersebelahan dengan kawasan itu, dianggarkan sekitar RM193 juta jika dinilai pada harga pasaran semasa RM1,238 psf.


Keadaan tersebut jelasnya, menunjukkan potensi nilai tambahan bagi kumpulan berkenaan dan firma itu menjangkakan penyempurnaan transaksi hanya akan berlaku pada separuh kedua 2026 (2H2026).


"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan semasa, namun menegaskan langkah pelupusan ini mencerminkan keupayaan LBS mengurus aset secara strategik," kata firma itu.


Perkembangan positif tersebut ujar PublicInvest mampu memaksimumkan pulangan jangka panjang kepada para pemegang saham selepas transaksi berkenaan selesai. - DagangNews.com