KUALA LUMPUR 11 Nov – LBS Bina Group Bhd (LBS) dijangka meraih keuntungan kira-kira RM45 juta hasil penjualan dua bidang tanah komersial milik anak syarikat tidak langsungnya, Sinaran Restu Sdn Bhd (SRSB), di pusat bandar Johor Bahru dengan nilai keseluruhan berjumlah RM110 juta tunai.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, LBS memaklumkan SRSB telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Asiana Square Sdn Bhd (ASSB) pada 11 November 2025 bagi melupuskan dua bidang tanah berkeluasan keseluruhan 8,267 meter persegi yang terletak di Johor.
Tanah pertama merupakan tanah pajakan hingga 1 November 2099 di bawah PN 38855 Lot 24962 dengan keluasan 3,498 meter persegi, manakala tanah kedua adalah tanah pegangan bebas di bawah GRN 437503 Lot 20952 dengan keluasan 4,769 meter persegi. Kedua-dua tanah ini terletak bersebelahan antara satu sama lain.
LBS menjelaskan hartanah tersebut terletak di lokasi strategik dalam kawasan komersial sepanjang Jalan Dato’ Dalam di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru, dikenali sebagai “Pintu Selatan Malaysia”.
Kawasan ini hanya 700 meter dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta kira-kira 100 meter dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, dan mempunyai akses baik melalui Lebuhraya Tebrau serta Lebuhraya Tun Razak/Senai-Skudai.
Pelupusan atas dasar ‘as is where is’
Menurut perjanjian, tanah-tanah tersebut akan dijual atas dasar “as is where is” bebas daripada sebarang bebanan, dengan 10 peratus daripada harga jualan dibayar semasa pelaksanaan perjanjian, manakala baki 90 peratus perlu dijelaskan selewat-lewatnya pada 7 September 2026.
SRSB juga perlu mendapatkan kelulusan pindah milik daripada pihak berkuasa tempatan sebelum 30 April 2026, dengan lanjutan dua bulan sekiranya diperlukan.
Jika kelulusan gagal diperoleh dalam tempoh ditetapkan, kedua-dua pihak berhak membatalkan perjanjian, dan SRSB akan memulangkan bayaran pendahuluan 10 peratus tanpa faedah.
Nilai jualan lebih tinggi daripada penilaian bebas
Nilai pelupusan RM110 juta itu ditentukan berdasarkan persetujuan bersama antara pembeli dan penjual selepas mengambil kira penilaian bebas sebanyak RM84 juta oleh penilai berdaftar.
LBS berkata, keputusan melupuskan tanah tersebut dibuat selepas mempertimbangkan potensi kenaikan nilai, keadaan pasaran semasa serta terma komersial yang telah dirundingkan dengan pembeli.
“Pelupusan ini membolehkan kumpulan merealisasikan keuntungan daripada peningkatan nilai tanah, di samping mengagihkan semula modal ke arah projek-projek di Lembah Klang yang mempunyai asas pasaran lebih kukuh serta potensi pulangan lebih baik,” kata LBS dalam kenyataannya.
Sejajar strategi 8 x 8
LBS menegaskan transaksi ini sejajar dengan pelaksanaan “Strategi 8 x 8” kumpulan yang menumpukan kepada pengoptimuman pegangan tanah (landbank) bagi meningkatkan kecekapan operasi dan menambah nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Dari segi kesan kewangan, transaksi tersebut tidak akan menjejaskan modal saham diterbitkan syarikat mahupun pegangan pemegang saham utama.
Berdasarkan nilai buku bersih tanah sebanyak RM64 juta setakat 31 Disember 2024, kumpulan dijangka mencatat keuntungan kira-kira RM45 juta hasil daripada pelupusan berkenaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Selain itu, nisbah hutang kumpulan juga dijangka bertambah baik daripada 0.46 kepada 0.43 selepas pelupusan selesai. - DagangNews.com








