KUALA LUMPUR 27 Jan - Pelabur asing meneruskan menjual ekuiti tempatan di Bursa Malaysia dengan kadar keluaran dana yang lebih kecil pada RM701.4 juta berbanding minggu lepas iaitu RM1.33 bilion.
MIDF Research kata, pelabur asing merupakan penjual bersih sepanjang mingu dagangan berakhir 24 Januari 2025 di Bursa Malaysia bagi minggu ke-14 berturut-turut.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing mencatatkan aliran keluaran dana tertinggi sebanyak RM300.5 juta pada Jumaat.
Pada hari-hari lain, aliran keluaran dana berjulat dari RM23.2 juta sehingga RM169 juta.
"Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM33.8 juta), telekomunikasi & media (RM8.9 juta) dan REIT (RM4.6 juta).
"Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM222.4 juta), pembinaan (RM162 juta) dan hartanah (RM112.9 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 24 Januari 2025, hari ini.
Sebaliknya, institusi tempatan terus menyokong Bursa Malaysia selama 14 minggu berturut-turut, dengan pembelian bersih berjumlah RM551.6 juta dalam ekuiti domestik.
"Mereka membuat pembelian bersih setiap hari minggu lepas dan telah membeli bersih selama 46 hari dagangan berturut-turut.
"Pelabur runcit tempatan terus menjadi pembeli bersih bagi tiga minggu berturut-turut di Bursa Malaysia, dengan pembelian bersih yang lebih kecil sebanyak RM149.9 juta," katanya.
Sementara itu, purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan pada minggu lepas.
Aktiviti dagangan pelabur asing menurun sebanyak 13.6% manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan menyusut masing-masing sebanyak 8.7% dan 5.5%.- DagangNews.com








