Pelabur asing kembali jual ekuiti bernilai RM65.7 juta di Bursa Malaysia minggu lalu, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing kembali jual ekuiti bernilai RM65.7 juta di Bursa Malaysia minggu lalu, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Feb - Pelabur asing kembali menjual ekuiti di Bursa Malaysia selepas enam minggu berturut-turut sebagai pembeli, dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM65.7 juta, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut menjadi penjual untuk dua daripada tiga hari dagangan dengan tertinggi pada Isnin mencecah RM142.2 juta, diikuti Jumaat pula RM52.7 juta.


"Bagaimanapun, pelabur asing bertindak membeli ekuiti hanya pada dagangan Khamis dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM129.2 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.


Jelas MBSB Research, tiga sektor menyaksikan aliran masuk bersih asing pada minggu lalu iaitu perkhidmatan kewangan sebanyak RM138.4 juta, disusuli utiliti (RM79.2 juta) serta tenaga (RM17.1 juta).


Ia namun menambah, tiga sektor lain mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan dan produk pengguna (RM177.4 juta), hartanah (RM37.3 juta) serta penjagaan kesihatan (RM37.1 juta).


Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan terus mencatatkan jualan bersih sebanyak RM50.2 juta untuk tempoh tiga minggu berturut-turut menyaksikan aliran keluar dana mereka.


"Pada masa yang sama, pelabur runcit tempatan pula kembali mencatatkan rentak belian bersih selepas seminggu menjual, dengan jumlah aliran masuk sebanyak RM115.8 juta," katanya.


Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah menyusut dengan peruncit tempatan dan institusi tempatan naik masing-masing 13.5% dan 18.8%, manakala pelabur asing merosot 29.7%. - DagangNews.com