KUALA LUMPUR 10 Feb – Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melancarkan mesin layan diri barangan runcit pertama di Malaysia yang menandakan titik penting dalam perkembangan peruncitan automatik.
Inisiatif ini menyediakan buah-buahan segar serta barangan keperluan harian — termasuk kicap, bawang putih, makanan dalam tin, dan banyak lagi produk; secara terus kepada pengguna dengan kemudahan pembelian tanpa tunai, tanpa sentuh, dan pada bila-bila masa sahaja.
Pelancaran kaedah pemasaran terbaharu itu susulan perkembangan mesin layan diri yang kini semakin popular di seluruh Malaysia dan juga peningkatan trend pembayaran tanpa wang tunai serta permintaan masyarakat terhadap akses kepada operasi kedai runcit sepanjang waktu.
Ini juga seleras dengan laporan industri yang menjangkakan bahawa permintaan tinggi terhadap mesin sebegini tidak lagi terhad kepada transaksi pembelian makanan ringan dan minuman, sebaliknya sekarang meliputi suplemen kesihatan, produk penjagaan kulit dan hasil segar.
Senario ini turut mencerminkan peningkatan kecenderungan pengguna tempatan yang mengutamakan pengalaman pembelian secara mudah, automatik, dan bebas sentuhan, terutamanya di tempat tumpuan ramai seperti kawasan pusat beli-belah, terminal lapangan terbang dan hospital.
"Pengguna hari ini didapati suka mengutamakan kemudahan dan kewujudan mesin layan diri mengubah cara hidup kita untuk mendapatkan makanan dan barangan runcit. Dengan pelancaran mesin layan diri barangan runcit pertama di Malaysia, kami menyambut baik trend global ini.
"Pada masa yang sama, kami turut mengintegrasikan pembayaran digital dan automatik untuk mengubah konsep cara jualan runcit bagi pelbagai barangan segar pula,” kata Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan PayNet, Firdaus Ghani menerusi satu kenyataan.
Uniknya lagi ujar beliau, bukti konsep projek ini dapat membolehkan pihak FAMA mengkaji pula pola tabiat pengguna, menilai kecekapan operasi teknologi layan diri bagi segala barang runcit segar, serta meneroka potensi pemasaran pelbagai produknya untuk masa akan datang.
Mesin layan diri itu beroperasi sepenuhnya tanpa tunai dengan menerima kaedah pembayaran melalui imbasan kod DuitNow QR dan pelbagai lagi pembayaran digital lain, serta mampu memastikan proses transaksi yang lancar dan selamat untuk para pengguna sendiri.
Inisiatif ini selari dengan komitmen PayNet dan FAMA dalam mendigitalisasikan sektor pertanian dan peruncitan serta membuktikan mesin layan diri lebih memudahkan pengguna untuk memperoleh keperluan, mengurangkan kos operasi, dan memodenkan cara pembelian hasil segar.
Sekiranya inisiatif dirintis ini berjaya, pihak FAMA jelas beliau, merancang untuk memperluaskan konsep baharu itu dengan menambah mesin sebegitu di banyak lagi lokasi strategik khususnya di kawasan yang mempunyai akses terhad kepada pembelian hasil segar.
Pada masa sama, demi memastikan kecekapan dan kemampanan mesin itu, Agrobazar yang telah dikenal pasti terletak berdekatan akan menguruskan penambahan bekalan dan memantau mesin untuk memastikan stok hasil segar dan barangan runcit asas sentiasa tersedia untuk dijual.
"Mesin layan diri memang memainkan peranan penting untuk meluaskan akses pasaran dan memodenkan perniagaan barangan runcit," kata Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Keterjaminan Makanan & Operasi), Shahrizan Sudiman.
Dengan teknologi ini ujarnya, usahawan tani boleh menjual hasil mereka secara terus kepada para pengguna tanpa bergantung lagi kepada saluran runcit tradisional dan ini akan meningkatkan kecekapan serta kemampanan dalam ekosistem pemasaran pertanian.
Sejajar dengan peningkatan permintaan pengguna untuk penyelesaian runcit tanpa sentuh setiap hari tanpa ada cuti, PayNet dan FAMA berganding untuk meneraju perubahan pengalaman membeli-belah barangan runcit di Malaysia. - DagangNews.com








