KUALA LUMPUR 31 Okt – Pavilion Real Estate Investment Trust (REIT) berdepan risiko utama selepas kumpulan itu mencatatkan lonjakan harga saham serta hasil dividen yang semakin mengecil sebelum ini..
Menurut tiga firma penyelidikan utama, ia merupakan cabaran besar kepada syarikat amanah pelaburan hartanah tersebut setelah mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada sembilan bulan pertama 2025.
Antaranya, MBSB Research yang menyifatkan keputusan 9MFY25 itu sedikit melebihi jangkaan dalaman disebabkan faktor sumbangan lebih tinggi daripada Elite Pavilion Mall serta kos operasi yang rendah.
"Kami menaikkan unjuran pendapatan FY25, FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 8%, 5.2% dan 4.4%, namun menilai kenaikan harga saham mengehadkan ruang pertumbuhan," kata firma itu dalam notanya.
Situasi itu disebabkan hasil dividen Pavilion REIT ketika ini hanya sekitar 4.4% dan ia menurunkan saranan kepada 'neutral daripada 'beli', dengan harga sasaran (TP) pula RM1.94 berbanding RM1.88.
Semalam, kumpulan itu memaklumkan keuntungan bersih teras pada 9MFY25 ialah RM263.7 juta, naik 15% tahun ke tahun (YoY), disokong oleh prestasi cemerlang Pavilion Bukit Jalil dan Elite Pavilion.
Sementara itu, RHB Research sebaliknya mengekalkan pandangan positif dengan saranan 'beli' dan TP tidak berubah RM2.00, menawarkan potensi kenaikan 8% serta hasil dividen sekitar 5% bagi FY25.
"Keputusan 9MFY25 selaras dengan jangkaan, dipacu oleh pertumbuhan hasil 6.7% YoY kepada RM669 juta, margin pendapatan hartanah bersih lebih kukuh, serta penurunan kos pinjaman," jelasnya.
Artikel berkaitan: Pavilion REIT peroleh pendapatan hartanah bersih RM145.5 juta pada 3QFY25 disokong kadar penghunian tinggi
Firma tersebut menjangka tempoh 4QFY25 akan lebih baik, disokong perbelanjaan perayaan hujung tahun dan peningkatan aliran trafik pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Bagaimanapun, ulasan berbeza daripada CGS International (CGSI) yang menilai keputusan kewangan Pavilion REIT adalah di bawah jangkaan apabila hanya mencapai 68% daripada unjuran penuh FY25.
Keadaan tersebut kata firma berkenaan, disebabkan prestasi lemah dicatatkan Pavilion Kuala Lumpur Mall serta kos pembiayaan lebih tinggi selepas peningkatan hutang yang menjejaskan kumpulan itu.
"Kami namun melihat peningkatan kadar penghunian penuh di Da Men Mall selepas penyertaan penyewa utama, EasyHome International, yang dijangka menyumbang kepada pemulihan 4QFY25,"tambahnya lagi.
Justeru, ia menurunkan saranan kepada 'pegang' daripada 'tambah', tetapi menaikkan TP kepada RM1.84, dengan hasil dividen FY26 diunjur 5.1%, yang lebih rendah daripada purata sektor 5.5%.
Ketiga-tiga firma itu sepakat yang Pavilion REIT mengekalkan asas operasi dan pertumbuhan hasil lebih kukuh, disokong oleh faktor portfolio runcit premium serta perluasan segmen hospitaliti.
Ironinya, penilaian semasa yang semakin tinggi serta hasil dividen mengecil mengehadkan ruang kenaikan ketara dalam jangka pendek, walaupun prospek positif masih disokong. - DagangNews.com








