Pavilion REIT peroleh pendapatan hartanah bersih RM145.5 juta pada 3QFY25 disokong kadar penghunian tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pavilion REIT peroleh pendapatan hartanah bersih RM145.5 juta pada 3QFY25 disokong kadar penghunian tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 OktPavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) meraih pendapatan hartanah bersih (NPI) mencecah RM145.5 juta bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2025.


Ia bertambah 10% berbanding tahun sebelumnya, sejajar dengan pertumbuhan hasil kasar sebanyak 10% kepada RM227.9 juta, dengan disokong oleh pendapatan sewa kukuh dan kadar penghunian tinggi.


Kumpulan amanah pelaburan hartanah itu berkata, peningkatan turut menerima sumbangan Pavilion Bukit Jalil, Elite Pavilion Mall dan hotel baru Pavilion Hotel serta Banyan Tree Kuala Lumpur.


"Pendapatan boleh diagih naik 11% kepada RM280.9 juta, manakala segmen runcit terus memacu utama prestasi, menyumbang RM652.3 juta kepada hasil kasar," maklum Pavilion REIT kepada Bursa Malaysia


Tambahnya, segmen berkenaan turut menjana sebanyak RM406.5 juta kepada NPI, sementara sektor hotel dan pejabat pula didapati berjaya menyumbang hasil yang masing-masing RM9.7 juta dan RM7.4 juta.


Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management, Datuk Philip Ho berkata, syarikat itu berbangga mengekalkan pulangan konsisten sambil menempatkan Pavilion REIT untuk pertumbuhan jangka panjang.


"Pavilion KL yang dipilih kerajaan sebagai rakan strategik Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka meningkatkan kunjungan pelancong dan merancakkan aktiviti runcit di portfolio kami," katanya.


Berdasarkan perkembangan positif tersebut jelas beliau, Pavilion REIT kekal optimis, disokong oleh permintaan domestik yang lebih stabil dan pertumbuhan aktiviti pelancongan di semua hartanahnya. 


Ho turut yakin, kumpulan itu dapat menjana peluang bagi meningkatkan perbelanjaan runcit pelancong melalui kolaborasi strategik dengan kementerian dan agensi pelancongan. - DagangNews.com