KUALA LUMPUR 27 Jan - Pasaran pejabat Malaysia menunjukkan pertumbuhan kukuh disokong oleh penghuni dari kedua-dua syarikat tempatan dan antarabangsa terus mencari ruang premium yang memenuhi piawaian kemampanan di tempat kerja, kata Knight Frank.
Pengarah Urusan Kumpulan, Keith Ooi berkata, pasaran hartanah Malaysia menyaksikan peningkatan dalam permintaan pejabat yang mematuhi alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dan mendapati pembinaan yang diperakui hijau menarik perhatian lebih ramai pelabur.
"Tinjauan dari Sorotan Hartanah (REH) bagi separuh kedua 2024 dan kajian Sentimen Pelaburan Hartanah Komersial Malaysia Survey (CREISS) 2025 menekankan potensi negara bagi berkembang dengan mampan dan berpeluang menempatkan semula asset inovatif pada 2025.
"Sektor pejabat terus menyesuaikan diri apabila syarikat memberi lebih penekanan kepada ruang berkualiti tinggi yang diperakui ESG bagi menarik dan mengekalkan bakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ooi berkata, peralihan ke arah 'pejabat premium' ini telah mendorong pelaburan besar dalam pengubahsuaian dan pembangunan semula, terutamanya di lokasi utama seperti Kuala Lumpur.
"Penemuan terbaharu kami daripada CREISS 2025 dan REH 2H2024 menyerlahkan tumpuan yang semakin meningkat pada rumusan yang diperakui hijau sejajar dengan matlamat kemampanan korporat, meletakkan Malaysia sebagai pasaran menarik yang menawarkan keseimbangan kecekapan kos dan ruang pejabat premium," katanya.
Laporan itu menujukkan, 45% daripada urus niaga pejabat yang diperuntukkan untuk pembangunan semula atau pengubahsuaian tertumpu pada menaikkan taraf pejabat pada 2024.
Dalam pada itu, isu bangunan usang menjadi lebih menonjol sejak kebelakangan ini.
Banyak bangunan Gred B dan tingkat rendah menghadapi cabaran yang semakin meningkat dalam pajakan kerana ramai penghuni korporat lebih menyukai pejabat yang berkualiti tinggi.
Projek membaik pulih bangunan usang dengan memfokuskan pada aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan kesejahteraan, pelabur boleh menjadikan ini sbagi peluang pelaburan yang menarik.- DagangNews.com








