NUBE kesal ada pihak elak respons isu mansuh caj RM1 untuk pengeluaran ATM antara bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NUBE kesal ada pihak elak respons isu mansuh caj RM1 untuk pengeluaran ATM antara bank

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Feb - Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) mendedahkan ada pihak tidak mahu usaha pemansuhan caj RM1 untuk transaksi pengeluaran melalui mesin juruwang automatik (ATM) antara bank.

 

Menurut Setiausaha Agungnya, J. Solomon, dalam satu kenyataan hari ini, di sebalik sokongan padu ramai Ahli Parlimen dan badan pengguna, namun ada dilihat berdolak-dalik seperti tidak mahu menghapuskan caj itu. 

 

"Pihak yang bertanggungjwab secara strategik itu didapati mengelak memberi maklum balas mengenai isu ini,” katanya merujuk inisiatif dilaksanakan NUBE bagi mendapatkan respons pihak berkaitan sejak tahun lalu.

 

 

 

Beliau mendakwa, setelah memulakan kempen pemansuhan caj itu, NUBE sudah berusaha menghubungi Bank Negara Malaysia dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PanNet) serta Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM).

 

Bagaimanapun ujarnya, NUBE berasa amat kesal kerana tiada sebarang maklum balas diberikan selain pihak terbabit cuma berdolak-dalik dengan bertindak pula menyalahkan antara satu sama lain.

 

Situasi tersebut kata Solomon, ternyata menunjukkan tahap sikap tidak bertanggungjawab dan kekurangan nilai profesionalisme bahkan enggan menjelaskan kenapa caj RM1 tersebut tidak boleh dimansuhkan.

 

"Berdasarkan reaksi mereka, caj itu sebenarnya tidak perlu sama sekali dan hanya satu cara mengaut laba secara kurang wajar malah kami berharap isu ini dibangkit ketika persidangan Dewan Rakyat," tegasnya.

 

Akhir tahun lalu, NUBE menggerakkan kempen itu susulan langkah penyedia jaringan nasional bersama ATM, PayNet memperkenalkan balik caj itu awal 2022 selepas dua tahun dikecualikan ketika era wabak Covid-19.

 

Mengulas lanjut, Soloman berkata, pihaknya pernah memohon kesemua pemegang saham operator berkenaan termasuk Bank Negara Malaysia dan 11 buah bank komersial untuk mempertimbangkan polisi caj tidak adil itu.

 

Pihak NUBE bagaimanapun, merakamkan terima kasih kepada banyak pihak yang menyokong pemansuhan caj RM1 kerana ia jelas beban tambahan kepada rakyat terutama pengguna yang berdepan dengan masalah kewangan.

 

“Penghapusan ini tidak menyebabkan bank mengalami sebarang kehilangan keuntungan malah institusi itu harus tampil secara sukarela untuk memansuhkan caj ini sebagai sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

 

Justeru, Solomon menggesa rakyat agar menunjukkan sokongan terhadap pemansuhan caj RM1 itu dengan boleh menyertai kempen yang telah dilancarkan menerusi laman sesawang rasmi organisasi berkenaan.

 

“Kami turut menyediakan halaman kempen ini melalui laman petisyen terkenal global iaitu Change.Org atau boleh menandatangani borang disediakan sukarelawan NUBE di beberapa lokasi awam diadakan,” jelasnya.

 

Rakyat ujar beliau, juga boleh melahirkan bantahan bayaran dikenakan pihak bank itu dengan mencatatkan tanda pagar sokongan kempen iaitu #HapusCajRM1 menerusi hantaran dalam akaun platform media sosial. - DagangNews.com