KUALA LUMPUR 10 Feb – Nilai kerja pembinaan sepanjang 2024 lalu mencecah RM158.8 bilion, dengan suku keempat tahun itu berjaya merekodkan jumlah sebanyak RM42 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam Statistik Pembinaan Suku Tahunan, Malaysia, Suku Keempat 2024, agensi tersebut berkata, nilai itu mencatatkan pertumbuhan pada suku terakhir dengan peningkatan ketara kepada 23.1 peratus berbanding ST3 hanya 22.9 peratus.
Mengulas mengenai laporan prestasi terkini sektor itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi cemerlang ini didorong oleh peningkatan kukuh subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman.
Dua sektor kecil itu masing-masing mencatatkan pertumbuhan ketara dua digit iaitu 44.9 peratus dan 38.9 peratus. Subsektor bangunan bukan kediaman turut menyumbang kepada pertumbuhan dengan peningkatan sebanyak 24.6 peratus.
Sementara itu ujar beliau, DOSM mendapati subsektor kejuruteraan awam terus berkembang, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, dengan kadar pertumbuhan positif sebanyak 9.3 peratus sepanjang suku keempat tahun berkenaan.

“Sejumlah RM15.6 bilion atau 37.2 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutamanya aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM6.9 bilion) serta projek utiliti (RM6.8 bilion)," kata Mohd Uzir.
Sementara itu untuk tempoh sama, nilai kerja bagi pembinaan bangunan yang bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing mencatatkan RM11.8 bilion (28.0 peratus) dan RM9.9 bilion (23.5 peratus).
Aktiviti pertukangan khas pula menyumbang RM4.7 bilion (11.3%), terutama dalam aktiviti penyediaan tapak (RM1.2 bilion); pemasangan elektrik (RM1.1 bilion); dan pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin (RM1.0 bilion).
Sektor swasta jelas beliau, kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada suku berkenaan apabila menyumbang sebanyak RM27.0 bilion atau 64.2 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan.
Malahan ujarnya, sektor swasta mencatatkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 32.9 peratus (ST3 2024: 33.3%), didorong oleh prestasi kukuh dalam subsektor aktiviti pertukangan khas (57.4%) dan bangunan kediaman (38.5%).
Sebaliknya, sektor awam yang menyumbang 35.8 peratus atau RM15.1 bilion mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 8.8 peratus (ST3 2024: 8.1%) didorong oleh subsektor bangunan kediaman (46.8%) dan aktiviti pertukangan khas (22.4%), dengan masing-masing berjumlah RM0.6 bilion dan RM1.4 bilion.
Mengulas mengenai prestasi sektor pembinaan mengikut negeri pada suku keempat 2024, Mohd Uzir menyatakan, hampir 62.3 peratus tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) serta Sarawak.
"Selangor merekodkan nilai tertinggi sebanyak RM9.4 bilion (22.5%), didorong subsektor bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman yang masing-masing bernilai RM2.9 bilion, serta subsektor kejuruteraan awam berjumlah RM2.6 bilion.
"Sementara itu, Johor menduduki tempat kedua dengan RM7.4 bilion atau 17.7 peratus, dipacu terutamanya oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM3.0 bilion) manakala Wilayah Persekutuan berjumlah RM4.7 bilion (11.3%) dan Sarawak mencatatkan RM4.6 bilion (10.9%)."
Merumuskan prestasi nilai kerja pembinaan bagi tahun lepas, beliau berkata, sektor ini mencapai RM158.8 bilion, dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 20.2 peratus berbanding 8.4 peratus pada tahun sebelumnya.
Semua subsektor turut menunjukkan peningkatan, dengan lonjakan ketara dalam aktiviti pertukangan khas (35.9%), bangunan kediaman (24.5%) dan bangunan bukan kediaman (15.5%).
Sementara itu, aktiviti kejuruteraan awam mengekalkan pertumbuhan dua digit yang stabil pada kadar 17.3 peratus (ST3 2024: 15.7%). Secara keseluruhan, sektor pembinaan pada tahun 2024 menunjukkan prestasi kukuh, disokong oleh pertumbuhan yang meningkat ke atas semua subsektor. - DagangNews.com








